Bryan akui cuba dipancing Kedah sebelum masuk Pulau Pinang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penjaga gol PDRM FA, Bryan See Tien Keat mengakui Kedah ada cuba merisik khidmatnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.sebelum dia disambar jiran utara, Pulau Pinang.

“Saya pada awalnya mahu menyertai Kedah kerana mereka sebuah pasukan besar dan akan bermain di Piala AFC, tetapi sayang ianya tak jadi. Kini saya bersama Pulau Pinang, semuanya ok dan saya gembira dengan persekitaran dan suasana di sini,” kata Bryan kepada The Star Online.

Walaupun tidak mendedahkan sebab perpindahan ke Kedah tidak menjadi realiti, ia dipercayai kerana Kedah telah mendapatkan bekas penjaga gol Terengganu Ilham Amirullah Razali sebagai pengganti penjaga gol meningkat naik Asri Ghani yang memilih menyertai Perak.

Bagi saingan musim 2021, dua lagi penjaga gol yang dipertaruhkan Kedah adalah Ifwat Akmal Chek Kassim dan Shahril Saari manakala bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Azman Mohamed pula bertindak sebagai jurulatih penjaga gol pasukan itu.

Seementara itu, Bryan See yang mencuri perhatian ramai terutama dengan rentetan aksi cemerlang pada 2020 terutama ketika menentang Johor Darul Takzim (PDRM tewas 0-1) sudah bersedia untuk mencabar posisi penjaga gol nombor satu skuad Harimau Kumbang yang ketika ini dipegang erat oleh Samuel Sommerville.

Samuel telah beraksi cukup cemerlang dan menjadi salah seorang tunjang utama yang membantu Pulau Pinang mencatat rekod defensif terbaik dalam laluan menjuarai Liga Premier 2020 seterusnya layak ke Liga Super.

“Saya akui ia akan menjadi tahun yang lebih sukar kerana tiada jaminan tentang minit permainan, saya kena mendapatkannya. Saya tahu saya perlu realistik dan tidak boleh terburu-buru.

“Saya perlu sentiasa berada pada tahap terbaik ketika latihan, dan kemudiannya cuba merebut tempat di dalam kesebelasan utama, menunjukkan konsistensi dan tunjukkan prestasi terbaik apabila diturunkan dan diberi peluang.

“Jika tidak dapat peluang bermain, saya tidak boleh mengeluh atau merungut tetapi menunjukkan lebih kerja keras, dan paling penting saya perlu utamakan pasukan, menjadi rakan sepasukan yang baik dan memberikan sokongan penuh kepada mereka sama ada saya bermain atau tidak.

“Kalau diikutkan tiada banyak beza antara kami bertiga, ia bergantung kepada siapa yang paling konsisten,” kata penjaga gol  berusia 27 tahun yang merupakan pelajar Master Kejuruteraan Sivil (Pengajian Jarak Jauh) di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.