Buat apa takut jadi ahli?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata yayasan itu bersedia untuk mengeluarkan semula surat jaminan (Guarantee Letter) untuk ahlinya mendapatkan rawatan di hospital swasta, sekiranya mempunyai dana mencukupi.

Menurut beliau, perkara itu dalam pertimbangan namun keputusan mengenainya hanya akan dibuat selepas pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican pada minggu hadapan.

“Kita akan jumpa dengan Menteri atau TKSU (Kementerian Belia dan Sukan) minggu depan baru kita akan tahu berapa dana (yang akan diberi) dan adakah ia akan disalurkan setiap tahun, setakat ini belum ada kepastian.

“Kalau kita ada dana sekitar RM1.7 juta setiap tahun, kita tiada masalah untuk keluarkan semula surat jaminan (GL) kepada bekas atlet supaya mereka boleh terus pergi mendapatkan rawatan di hospital swasta secepat mungkin.

“Sejak tahun lalu ahli YAKEB telah menikmati pengecualian caj perubatan bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan, ia skim yang cukup kita hargai tapi kita juga sedar Hospital Kerajaan sentiasa sesak, terlalu ramai orang. Kita faham perkara tersebut, jadi kalau kita ada lebih (dana), kita bagi GL, boleh terus ke swasta macam dulu,” kata Noorul Ariffin.

Mengulas lanjut, Noorul Ariffin yang juga merupakan bekas atlet olahraga negara mengakui sukar untuk YAKEB terus memperjuangkan nasib bekas atlet jika tiada bantuan daripada pihak kerajaan, syarikat swasta mahupun individu namun menegaskan bekas atlet tidak perlu takut untuk berdaftar sebagai ahli.

KESIHATAN RABUAN PIT BERTAMBAH BAIK

“Kita akan luluskan permohonan selepas rujuk kepada persatuan sukan masing-masing. Sekarang kita ada hampir 3,000 ahli, tahun akan datang ia akan terus bertambah, tidak mengapa, kalau 10,000 ahli berdaftar pun kami terima.

“Jangan takut untuk berdaftar dengan YAKEB, jangan fikir YAKEB tak ada duit buat apa berdaftar. Kita akan bertungkus lumus, berjuang demi bekas atlet. Setiap tahun kita berjimat cermat untuk bantu atlet. Syukur dana ada cukup untuk sehingga akhir tahun dan kita akan sentiasa berusaha untuk dapatkan dana.

Melawat Rabuan Pit Buat apa takut jadi ahli?

“Sekarang pun kita dapat sumbangan dari Yayasan Hasanah sekitar Rm200,000, kita akan salurkan kepada 60 bekas atlet untuk Kemahiran dan Keusahawanan. Kita juga sudah bekerjasama dengan Perkeso, Zakat Wilayah, ini satu permulaan yg baik, ramai yang mula nampak peranan YAKEB, saya gembira dapat memperkasakan apa yang telah dibuat pengerusi terdahulu,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menziarahi bekas Raja Pecut Asia yang juga legenda sukan olahraga negara, Datuk Rabuan Pit di kediamannya.

Rabuan telah menjalani rawatan angiogram di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 11 Julai lalu.

Sementara itu, Rabuan Pit menyatakan rasa terharu dengan kehadiran pihak YAKEB dan memaklumkan keadaan kesihatan beliau semakin bertambah baik.

“Saya amat terharu melihat rakan-rakan di YAKEB datang ziarah, malah ramai mendoakan kesembuhan saya selepas YAKEB mewar-warkan mengenai keadaan terkini saya. Tahap kesihatan bertambah baik, terima kasih, YAKEB membantu bukan sahaja saya, tapi semua atlet yang hadapi masalah kesihatan,” katanya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.