Bukan boikot lah, pemain balik sebab latihan habis awal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar Khan menafikan berlakunya insiden pemain memboikot sesi latihan pasukan itu sepertimana tersebar di media sosial pada Khamis.

Malah Khairul Firdaus juga menepis dakwaan gaji mereka tertunggak selama tiga bulan walaupun mengakui ada berlaku kelewatan pembayaran gaji.

“Setakat ini tiada pemain yang memboikot sesi latihan petang semalam. Latihan selesai awal manakala pemain diminta berehat sebelum terbang ke Pulau Pinang hari ini (Jumaat).

“Pihak pengurusan menyangkal dakwaan yang disebarkan itu dan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.

“Dalam tempoh tiga bulan pengurusan baru ambil alih kita sentiasa lakukan yang terbaik demi memastikan pasukan berada landasan terbaik.

“Komunikasi di antara pengurusan dengan pemain juga sangat baik. Pihak pengurusan yakin selepas ini semuanya akan berjalan dengan lancar dan masalah seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya

Penyokong bolasepak tempatan pada Khamis dikejutkan dengan laporan kononnya pemain Sabah FC hilang sabar dengan janji palsu pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji selama tiga bulan menyebabkan mereka memboikot sesi latihan.

Malah sumber terdekat dengan pasukan mendakwa barisan kejurulatihan pula tidak dibayar gaji selama empat bulan.

Ia dikatakan faktor utama Sabah FC bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto gagal untuk menyerlah dalam Liga Super musim ini apabila sekadar mengutip lima mata dalam tujuh perlawanan menerusi catatan satu kemenangan dan dua seri.

Benar atau tidak apa yang dikatakan oleh Khairul Firdaus, hanya jauhari yang mengenal manikam tetapi apa yang pasti pokok takkan bergoyang kalau tiada angin.

Pada hakikatnya baru sebulan lebih Liga Malaysia berlangsung, sudah beberapa pasukan dihimpit masalah tak dapat bayar gaji walaupun pasukan sudah diswastakan.

Melaka United telah dipotong tiga mata kerana kegagalan membayar tunggakan gaji mengikut jadual yang mereka sendiri tetapkan.

Kedah FC baru sahaja menyelesaikan tunggakan gaji selama dua bulan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah gaji tinggi yang dikhuatiri akan membunuh industri, manakala Perak FC pula baru selesaikan tunggakan gaji untuk bulan Februari selepas ianya kecoh diperkatakan di media sosial.

Tidak mustahil lebih banyak masalah berkaitan gaji akan terus ‘mewarnai’ saingan Liga Malaysia selagi tiada kesedaran di pihak pengurusan untuk tidak berbelanja melebihi kemampuan sepertimana Kelantan FC lakukan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.