Bukan JDT, tapi Police Tero FC!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di kala ramai yang meramal Johor Darul Takzim merupakan destinasi seterusnya buat pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh, ia mungkin jangkaan yang silap.

Menurut laporan Stadium Astro pemain berasal dari Gambia itu semakin hampir berhijrah ke Liga Thailand setelah menerima tawaran gaji lumayan dari Police Tero FC.

Begitupun tiada pengesahan dari mulut Sumareh sendiri mengenai spekulasi ini.

Sumareh menjadi bualan hangat mutakhir ini berikutan hilang lebih sebulan dari kem latihan Pahang, malah tindakannya juga menimbulkan kekecewaan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP).

Mengenai asbab tindakannya itu, Sumareh tetap mengambil pendekatan kunci mulut namun ia difahamkan berpunca daripada masalah tunggakan gaji.

“Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara itu ketika ini kerana saya sudah cukup dibenci. Saya tidak mahu berkata apa-apa.

“Selepas semua yang berlaku ini, saya tidak mahu memberikan komen.

“Bagi menghormati Pahang, saya tidak mahu berkata apa-apa. Saya hanya akan bercakap apabila waktunya telah tiba.

“Bagi menghormati bekas pasukan saya, tiada apa untuk saya bicarakan.

“Sesetengah penyokong masih amat baik dengan saya. Mereka memberikan sokongan kepada saya dengan mesej-mesej yang amat baik dan amat memahami.

“Sesetengah yang lain membenci saya dengan komen-komen yang amat buruk.

“Tetapi itulah hidup, bukan semuanya berpihak kepada anda. Adakalanya anda melalui waktu yang indah dan adakalanya waktu yang buruk.

“Saya kira ini adalah waktu yang buruk buat saya. Buat masa ini, saya hanya mahukan perkara ini reda dan saya mahu fokus kepada diri saya.

“Saya mahu bersama keluarga saya dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku,” kata Sumareh.

Baru-baru ini pengurus pasukan Pahang, Datuk Suffian Awang mengakui terkilan dengan cara pemain itu meninggalkan pasukan dan menyifatkan pemain itu sebagai tidak profesional, selain menganggap dia sebagai tidak mengenang budi.

Sumareh telah menabur bakti dengan Pahang selama 4 musim bermula 2017 sehingga mendapat taraf kerakyatan Malaysia dan membolehkannya mewakili Harimau Malaya.

Sebelum itu dia pernah bersama PDRM FA (2013-2015) dan Perlis (2016), manakala Terengganu FC pula pernah mendaftarkannya pada 2012 namun menggugurkannya sebelum Liga Malaysia bermula.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.