Bukan JDT, tapi Sri Pahang destinasi Adisak Kraisorn!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru-baru ini tersebar spekulasi bahawa ada kelab Liga Malaysia berminat membawa masuk penyerang skuad kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn untuk memperkuatkan pasukan.

Beberapa portal melaporkan kelab tersebut adalah juara Liga Super tujuh kali, Johor Darul Takzim, berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi sumber di Thailand.

Begitupun, perkembangan terbaru sepertimana dilaporkan Sukanz, pemain berusia 30 tahun itu yang juga penjaring terbanyak Kejohanan AFF 2018 sebenarnya dalam diam telah dirisik gergasi pantai timur, Sri Pahang FC.

Pemain itu ketika ini beraksi secara pinjaman bersama Port FC dan masih berkontrak sehingga 31 Mei 2021.

“Sri Pahang dikhabarkan telah pun merisik dan mencapai persetujuan dengan Muangthong United (kelab asal Adisak). Namun ini tertakluk pada persetujuan kelab yang meminjamnya, Port FC untuk melepaskan Adisak lebih awal atau tidak.

“Difahamkan Sri Pahang mahu menyegerakan urusan pendaftaran pemain import sebaik jendela perpindahan kedua dibuka pada 3 Mei bagi menyelamatkan musim mereka,” kata sumber terbabit kepada Sukanz.

Sri Pahang diketahui terdesak merombak barisan serangan mereka selepas dua penyerang import baru, Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique gagal menyerlah sepertimana diharapkan.

Ketumpulan penyudah dua pemain itu menjejaskan prestasi Sri Pahang dengan teruk – Yevhen Bokhashvili hanya menjaringkan satu gol manakala Pedro Henrique pula belum menemui sasaran selepas 10 perlawanan diharungi – menyaksikan skuad Dollah Salleh ketika ini terperosok di tangga ke-11 Liga Super.

Dollah Salleh telah beberapa kali menekankan mengenai perlunya pasukan mencari penyerang baru jika mahu terus bersaing dan Adisak Kraisorn dilihat sebagai solusi tepat kepada masalah mereka.

Selain Adisak Kraisorn yang turut pernah menjulang Liga Premier Thailand sebanyak tiga kali bersama Buriram United, Sri Pahang juga telah berjaya mendapatkan khidmat penyerang skuad kebangsaan Myanmar, Aung Kaung Mann.

Kaung Mann yang menonjol di temasya Sukan Sea Filipina 2019 apabila menjaringkan lima gol dalam laluan membantu Myanmar memenangi pingat gangsa, difahamkan telahpun berada di Kuala Lumpur dan menjalani kuarantin sebelum menyertai latihan Sri Pahang dalam tempoh terdekat.

Dia juga salah seorang pemain tonggak dalam skuad kebangsaan Myanmar yang ketika ini dalam persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Foto kredit : Bangkok Post

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.