Bukan kerana gaji semata-mata, tapi ada pemain diejek dan disindir pengurusan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain-pemain Perak FC yang membuat keputusan meninggalkan pasukan, bukan semata-mata kerana isu berkaitan tunggakan atau kelewatan pembayaran gaji, tetapi kerana kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak pengurusan.

Wartawan the star T.Avineshwaran yang merupakan anak jati Perak dan mempunyai hubungan baik bersama pemain-pemain pasukan itu mendedahkan antara sebab lain J.Parthiban dan D.Kenny Pallraj yang menjadi dua pemain terbaru meninggalkan pasukan adalah kerana mereka disindir dan diejek pengurusan kerana bersuara mengenai tunggakan gaji.

“Parthiban dan Kenny adalah kawan baik saya, mereka sayangkan pasukan Perak dan sentiasa percaya boleh menyumbang kepada pasukan. Ketika mereka tidak diturunkan sekalipun, mereka bekerja keras dan menangi balik tempat di dalam pasukan.

“Jika diberi pilihan mereka tidak mahu pindah, tapi kemelut semasa dan pengurusan yang tidak berapa cekap membuatkan mereka memikirkan masa depan.

“Ada individu di dalam pengurusan berkata kepada Partiban dia cuma ‘makan angin’ (penumpang di dalam pasukan) selain menyindir Kenny secara sarkastik apabila dia bangkitkan isu gaji. Mereka mungkin kekal jika pengurusan tunjuk sokongan, tapi tiada jawapan hanya alasan diberi.

“Sebenarnya kedua-dua mereka mahu bermain ketika Perak menentang Pahang dan menghadiahkan sesuatu kepada penyokong sebelum berpindah, tapi mereka tidak diberikan peluang. Saya tahu betapa kecewanya mereka terlepas perlawanan itu.

“Ramai yang mempersoalkan komitmen mereka, tetapi jiwa mereka sentiasa bersama Perak, namun kadang-kadang jiwa sahaja tidak memadai untuk membantu mereka membayar bil (meneruskan kehidupan).

“Apabila mereka buat keputusan berpindah, banyak panggilan diterima antaranya Pahang, Melaka United, PJ City tetapi ianya Stanley Bernard (CEO KL City) yang menunjukkan kesungguhan dengan turun ke Ipoh untuk meyakinkan mereka tentang projek pasukan itu. Malah Coach Bojan Hodak sendiri hubungi mereka dan membuatkan mereka rasa diperlukan,” tulisnya di twitter.

Sementara itu, penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam turut senada apabila menyifatkan selain masalah gaji, pengurusan yang tidak suportif antara punca pemain-pemain tonggak meninggalkan pasukan dan dia tidak menolak akan ada yang lain mengikut jejak mereka.

“Mereka kecewa bila ada yang kata jika tiada jiwa untuk main dengan Perak boleh cari pasukan lain. Bagi saya ini bukan kenyataan bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing.

“Siapa yang akan keluar saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang diambil mereka adalah kerana memikirkan masa depan dan perjalanan karier,” kata Hafizul Hakim.

Sebagai makluman, individu yang membuat kenyataan jika tiada jiwa boleh cari pasukan lain adalah Bendahari Perak FC Datuk Sham Mat Sahat, susulan tindakan Shahrul Saad dan Guilherme De Paula menyertai Johor Darul Takzim.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.