“Bukan kita jer nak menang, pasukan lain pun sama” – Tan Cheng Hoe

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe tidak mahu keputusan FIFA mengenai mekanisme pengiraan mata yang akan dilaksanakan dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan penarikan diri pasukan Korea Utara, memberi tekanan kepada barisan pemainnya.

Badan induk dunia itu membatalkan keputusan perlawanan membabitkan Korea Utara, dan perkembangan ini turut menjejaskan keputusan perlawanan membabitkan pasukan tangga tercorot dalam kumpulan lain, terutama bagi menentukan kedudukan naib juara setiap kumpulan.

Ia kerana semua keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot setiap kumpulan tidak akan dikira dan ini memberi kesan besar kepada Harimau Malaya sekiranya Indonesia menamatkan saingan di kedudukan tercorot.

Namun Tan Cheng Hoe mahu kekal tenang dan berpendapat ia situasi normal dan adil buat semua.

“Apa sahaja keputusan (FIFA), kita kena teruskan perjuangan kita dalam tiga perlawanan terakhir ini yang mana ia cukup penting untuk skuad kebangsaan dan penyokong di negara kita.

“Perkara penting adalah fokus kepada perlawanan akan datang kerana keputusan positif memberi peluang kepada Harimau Malaya untuk ke pusingan seterusnya.

“Memang di atas kertas, jalan selamat adalah menang semua perlawanan tetapi dalam bola sepak, bukan kita sahaja mahu menang tetapi pasukan lain pun begitu juga.

“Ia peluang yang adil untuk semua pasukan, jadi kita perlu bekerja keras untuk dapatkan keputusan positif. Ini bukanlah tekanan tetapi satu cabaran kepada jurulatih dan pemain untuk hadapi kempen kelayakan kali ini,” katanya dalam sidang media online bersama wartawan di Malaysia pada Jumaat.

Sebagai makluman, 8 pasukan juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, kesemua 12 pasukan itu akan turut layak beraksi di Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan bermain baki tiga aksi kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun, disusuli Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Buat masa ini, skuad harimau malaya menduduki tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, dua mata belakang Vietnam dan satu mata mengatasi Thailand.

Namun UAE yang berada di tangga keempat beraksi kurang satu perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.