Bukan mudah Safawi Rasid ketepikan Arif Aiman, Akhyar mahupun Sumareh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua kali dinobatkan Pemain Paling Bernilai, malah masih lagi merupakan pemain terbaik dalam negara, tetapi itu bukan tiket automatik buat Safawi Rasid mengisi posisi sayap dalam skuad kebangsaan.

Situasi ini berbeza dengan dua tahun lalu, Safawi Rasid adalah pilihan wajib di dalam kesebelasan utama dan dia menyerlah dengan menjadi antara tonggak utama untuk memacu skuad negara berada di kedudukan kedua Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bukan sahaja kerana dia baru sahaja pulih dari kecederaan lutut kiri dan masih mencari rentak, tetapi Tan Cheng Hoe kini mempunyai lebih pilihan di posisi tersebut.

Safawi Rasid sendiri menyedari hakikat tersebut, mengakui bukan mudah untuknya mengetepikan saingan tiga rakan sepasukan di Johor Darul Takzim – Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh – bagi posisi sayap kanan mahupun kiri.

Daripada tiga pemain itu, hanya Arif Aiman Hanapi merupakan wajah baru disenaraikan Tan Cheng Hoe susulan prestasi mengagumkannya dalam Liga Super.

“Semua pemain yang dipanggil ada tanggungjawab masing masing. Seperti mana untuk persaingan saya di bahagian sayap kanan dan kiri, saya rasa bagus untuk saya, Sumareh, Akhyar dan Arif Aiman bersaing di posisi itu.

“Semua pemain mahukan tempat dalam kesebelasan utama, jadi kita akan memberikan sehabis baik pada sesi latihan. Walaupun Arif Aiman adalah pemain muda, tetapi tidak mustahil untuk dia menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Saya rasa saya sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lutut sebelum ini. Sudah tentu saya mahu buktikan yang saya boleh membantu pasukan untuk layak ke pusingan seterusnya,” kata pemain berasal dari Terengganu itu.

Safawi Rasid setakat ini menjaringkan dua gol dalam pusingan kelayakan, kedua-duanya ketika menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November 2019.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak diturunkan dalam perlawanan latihan menentang Kuwait yang menyaksikan skuad negara dibelasah 1-4 namun dia dijangka akan diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Bahrain pada 28 Mei nanti pada ketika skuad negara sedang dalam persiapan mengharungi baki tiga aksi pusingan kelayakan menentang UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.