Gergasi Liga Perdana Inggeris Manchester United dilaporkan bakal membuat bidaan sensasi mendapatkan khidmat Kasper Schmeichel bagi menggantikan David De Gea sebagai penjaga gol nombor satu pasukan itu.
Menurut laporan TheSun, penjaga gol Leicester City itu adalah pilihan paling ideal untuk dibawa masuk berdasarkan pengalaman luas dan reputasi gah dimilikinya di dalam saingan English Premier League.
Kasper Schmeichel, anak kepada legenda Manchester United Peter Schmeichel masih ada kontrak tiga tahun berbaki dengan Leicester City.
Baca : Lupakan gol Ronaldinho, pada usia 40 tahun Seaman lakukan sesuatu tak terjangkau dek akal
Tetapi pada usia 33 tahun, dia yang membantu The Fox menjuarai Liga Perdana Inggeris 2016 boleh didapatkan dengan harga jauh lebih murah berbanding penjaga gol Atletico Madrid Jan Oblak yang mempunyai klausa pelepasan sekitar £109 juta.
Solksjaer diketahui terdesak untuk memburu penjaga gol yang sudah memahami permainan EPL bagi mengharungi musim baru yang akan bermula September.
Prestasi merudum De Gea nyata perkara paling membimbangkan Solksjaer apatah lagi mereka juga sudah kembali di dalam saingan Liga Juara Eropah dan dia tidak boleh menyandarkan harapan kepada penjaga gol ‘error-prone’ di posisi genting.
Meskipun Dean Henderson yang menunjukkan prestasi cemerlang bersama Sheffield United sudah kembali daripada pinjaman, Solksjaer masih ragu dengan keupayaan penjaga gol berusia 23 tahun itu untuk mengalas tanggungjawab besar menggantikan De Gea.
Baginya Henderson memerlukan dua atau tiga tahun lagi untuk merampas posisi no.1 di Old Trafford dan sehingga tempoh itu Solksjaer memerlukan penjaga gol yang sudah terbukti kehebatannya.
Kasper Schmeichel pula diketahui penjaga gol konsisten dan dia juga memainkan peranan instrumental ketika Leicester City mara ke suku akhir Liga Juara Eropah tiga tahun lalu.
Selain itu, dia juga berpengalaman tujuh tahun sebagai penjaga gol utama Denmark dan kehadirannya berpotensi membuka ruang kepada United untuk menjual De Gea, yang menerima gaji £375,000 seminggu.