“Bukan saya minta untuk tergelincir, terlanggar platform” – Pandelela

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika rakyat Malaysia kecewa dengan penampilan Pandelela Renong Pamg dalam aksi final terjun 10m platform pada Khamis, empunya diri lagilah kecewa.

Pandelela turun sebagai sandaran terakhir dari kem terjun untuk menghadiahkan pingat, malah dia sendiri menyasarkan untuk ‘all-out’ dan memberikan tentangan yang sengit kepada 11 pencabar lain.

Malangnya, dia menamatkan saingan di kedudukan terakhir – semuanya gara-gara kesilapan seawal terjunan pertama – sekaligus menyaksikan skuad terjun negara pulang dengan tangan kosong.

Kaki Pandalela mengenai platform selepas dia sedikit tergelincir ketika membuat ‘execution’ pada terjunan pertama menyebabkan dia hilang kawalan dan melakukan ‘entry’ yang kurang kemas ke dalam air, menyaksikannya hanya mendapat 18 mata.

“Semasa terjunan pertama, saya tidak sangka perkara itu boleh berlaku, ketika hendak membuat terjunan saya tergelincir menyebabkan momentum saya lari (tidak teratur).

“Memang terkejut dan saya cuba kawal terjunan, serta merta tumpuan saya terganggu namun nak buat macam mana, saya tak minta perkara ini berlaku. Saya cuba bangkit dan mengejar semula selepas itu tetapi tidak berjaya. Saya memang tidak bernasib baik pada olimpik kali ini, bukan rezeki saya,” katanya.

Pandelela mengumpul keseluruhan 245.85 mata setelah bangkit mengutip 71.05 mata pada terjunan kedua, 60.80 mata (terjunan ketiga), 52.80 mata (terjunan keempat) dan menamatkan cabaran dengan mengutip 43.20 mata di terjunan kelima.

Pingat emas dimenangi penerjun berusia 14 tahun dari China Quan Hongchan yang mengumpul 466 mata, manakala rakan senegaranya Chen Yuxi meraih perak dan pingat gangsa menjadi milik penerjun Australia Melissa Wu.

Dalam pada itu, kekecewaan di Tokyo 2020 tidak memadam keinginan Pandelela untuk memasang impian membuat penampilan di Olimpik Paris 2024.

“Ya, saya akan bertanding pada Olimpik akan datang. Saya tidak akan berputus asa kerana ini bukan Olimpik terakhir saya. Saya nak berusaha lagi untuk layak bertanding di Paris,” kata penerjun kelahiran Sarawak itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.