“Bukan saya yang kena kad merah” – Liridon

Program naturalisasi
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Sekadar makluman kepada anda, bukan saya yang kena kad merah,” demikian penjelasan pemain naturalisasi Harimau Malaya Liridon Krasniqi.

Reaksi pemain Newcastle Jets itu berikutan ada salah faham bahawa dia yang menerima layangan kad kuning kedua, seterusnya kad merah pada minit ke-83 perlawanan antara Harimau Malaya dan Bahrain kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Kad merah Liridon Krasniqi "Bukan saya yang kena kad merah" - Liridon

Sebaliknya, pemain yang menerima kad merah adalah Safawi Rasid. Pemain sayap JDT itu difahamkan membuat provokasi berlebihan dari bangku simpanan sebagai menunjukkan protes terhadap keputusan pengadil.

Bukan hanya penyokong, malah pengulas perlawanan turut menyangkakan Liridon Krasniqi yang kena kad merah – salah faham itu tercetus berikutan lensa kamera ketika siaran langsung fokus sepenuhnya kepada pemain berusia 29 tahun itu yang sudahpun dikeluarkan sewaktu pengadil perlawanan Turkey Alghadeer membuat keputusan berkenaan.

Insiden tersebut menyebabkan Liridon Krasniqi menjadi sasaran kecaman dan makian penyokong yang menganggap dia melakukan kesilapan bodoh, selain menegur pemain itu supaya mengawal sikap panas barannya.

Sebagai rekod, perlawanan menentang Bahrain merupakan penampilan sulung Liridon Krasniqi bersama Harimau Malaya.

Perlawanan di Stadium Manama itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe kecundang 0-2 menerusi jaringan penalti Mahdi Abduljabbar pada minit ke-40 dan Jassim Marhoon pada minit ke-60.

Gol pertama berpunca daripada kesilapan Irfan Zakaria menarik dan menjatuhkan Mahdi dalam kotak penalti manakala gol kedua adalah kesilapan Farizal Marlias yang gagal menampan kemas bola hantaran ke belakang Liridon Krasniqi.

Secara keseluruhan, skuad negara bermain baik di separuh masa pertama namun ibarat hilang pedoman di sepanjang separuh masa kedua.

Ia adalah perlawanan persahabatan terakhir sebelum skuad harimau malaya mengharungi baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula dengan perlawanan menentang tuan rumah (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Harimau Malaya ketika ini di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, namun mengambil kira prestasi ditunjukkan dalam perlawanan menentang Bahrain serta perlawanan latihan menentang Kuwait Ahad lalu, jelas terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Kredit foto : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.