“Bukan Sebab Kambing Biri-Biri, Ia Cerita Mengarut” – Cristiano Ronaldo

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang Manchester United Cristiano Ronaldo berpindah keluar dari kediaman mewah tujuh bilik di Cheshire ke kediaman lain tidak ada kaitan dengan bunyi bising kambing biri-biri mengembek di waktu pagi.

Tersebar meluas laporan kononnya pemain yang membuat comeback ke Old Trafford itu berpindah bersama-sama keluarganya ke kediaman milik bekas bintang Manchester United Andy Cole, tidak sampai seminggu menginap di situ kerana tidak tahan dengan bunyi bising kambing biri-biri yang seterusnya menjadi bahan jenaka di seluruh dunia.

Malah bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo, Patrice Evra serta beberapa bekas pemain lain seperti Patrick Kluivert, Jamie Redknap dan Robbie Keane turut mentertawakan dan mengejeknya mengenai cerita kambing biri-biri itu.

Begitupun pasukan media Cristiano Ronaldo, menepis laporan itu dan menganggap ia sebagai mengarut, sambil mendedahkan bahawa cerita itu telah direka.

“Laporan itu tidak berasas, Cristiano tidak pernah sekalipun bercakap mengenainya kepada sesiapa dan secara tiba-tiba ada sumber mendakwa ia disebabkan biri-biri. Cristiano pemain profesional yang memerlukan rehat dan privasi, dan disebabkan privasi itu dia memilih untuk berpindah.

“Kediaman sebelum ini ada sedikit isu privasi kerana ia ada laluan yang terbuka untuk orang awam. Jadi hanya itu sahaja sebabnya,” kata pasukan media Cristiano Ronaldo.

Bekas pemain terbaik dunia itu kembali ke Manchester United selepas meninggalkan pasukan itu pada 2009 untuk beraksi dengan Real Madrid selama sembilan musim dan tiga musim bersama Juventus.

Dalam tempoh tersebut dia memenangi pelbagai kejuaraan bersama pasukan serta meraih pengiktirafan peribadi, termasuklah dinobatkan Pemain Terbaik Dunia sebanyak empat kali. Ketika ini dia dianggap antara pemain terbaik pernah disaksikan dalam sejarah bolasepak dunia.

Sekembalinya menyarung jersi Red Devils, dia tidak menunggu lama untuk memberikan impak apabila menjaringkan dua gol dalam penampilan sulung ketika menewaskan Newcastle United 4-1 dan kemudiannya menjaringkan satu gol ketika United tewas 1-2 kepada Young Boys dalam aksi Liga Juara Eropah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.