Skuad negara akan turun beraksi buat kali pertama di bawah kendalian Kim Pan-gon pada kalendar antarabangsa bulan depan, dengan dua seteru Asia Tenggara iaitu Filipina dan Singapura akan menjadi lawan mereka.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Harimau Malaya yang kali terakhir beraksi pada Disember lalu di Piala AFF Suzuki 2020, akan bertemu Filipina pada 23 Mac disusuli Singapura pada 26 Mac dengan kedua-dua perlawanan adalah persiapan terakhir sebeluk beraksi di pusingan kelayakan Piala Asia 2023.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mendedahkan sekurang-kurangnya enam pasukan berminat untuk mengajak Harimau Malaya untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan, di mana juara Piala AFF Thailand disebut sebagai salah satu daripada pasukan tersebut.
Sementara itu, Kim Pan-gon berpendapat Malaysia mempunyai kelebihan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 setelah dipilih sebagai salah satu negara tuan rumah.
Walaupun mempunyai masa singkat untuk membuat persiapan, Pan-gon berkata beliau bersedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya sebagai pasukan disegani di rantau Asia.
“Saya suka cabaran dan sebagai jurulatih kebangsaan, ia akan datang dengan tekanan tinggi. Setiap rakyat dari seluruh negara fokus kepada skuad kebangsaan.
“Jadi ia menjadi satu cabaran yang saya ambilnya dengan positif. Saya pikul tugas ini dan anggap ia penghargaan terbesar yang mana tak semua (jurulatih) sanggup ambil cabaran ini,” katanya.
Selain Malaysia, lima lagi negara turut terpilih iaitu India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi merebut 11 tempat dalam pusingan akhir dijadual berlangsung di 10 bandar raya di China.
Pada pusingan kelayakan, 24 negara akan berentap untuk merebut 11 tempat dalam perlawanan ditetapkan pada 8, 11 dan 14 Jun dengan pemenang enam kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mara.