Bukan Thorsten Fink, FAS tepis spekulasi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menutup spekulasi mengaitkan bekas pemain Bayern Munich dan Jerman Thorsten Fink sebagai bakal ketua jurulatih pasukan itu.

Kedatangan Thorsten Fink yang membimbing Vissel Kobe musim ini ke Malaysia sejak beberapa hari lalu, menimbulkan khabar angin dia akan mengisi kekosongan ditinggalkan B.Sathianathan yang dipecat pada September lalu.

Lebih-lebih lagi, Selangor diketahui mahu menerapkan DNA Jerman dalam permainan mereka – Pengarah Teknikal, Michael Fechteinbener juga merupakan warga Jerman.

Bagaimanapun, ini kenyataan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

“Khabar angin itu tidak betul, kita sudah ada dua atau tiga nama jurulatih berpotensi dalam senarai akhir dan nama beliau (Fink) tiada dalam senarai itu. Kita akan muktamadkan dan buat pengumuman dalam tempoh terdekat, mungkin dua atau tiga minggu,” kata Johan.

Thorsten Fink, pernah mewakili beberapa pasukan seperti Borussia Dortmund, Wattenscheid 09 dan Kalsruher SC tetapi menonjol bersama Bayern Munich di mana dia memenangi Bundesliga sebanyak empat kali.

Dia juga merupakan sebahagian dari pasukan Bayern Munich yang tewas 1-2 kepada Manchester United dalam aksi final Liga Juara Eropah 1998/1999.

Selepas bersara, Fink menceburi bidang kejurulatihan dan mempunyai pengalaman luas mengendalikan pasukan Basel, Hamburger SV, APOEL, Austria Wien dan Grasshoppers.

Beliau dilantik sebagai jurulatih Vissel Kobe pada 2019 dan berjaya membantu pasukannya memenangi Piala Maharaja 2019 dan Piala Super Jepun 2020.

Dia telahpun meletak jawatan pada September lalu untuk kembali bersama keluarganya di Jerman.

Selangor sebelum ini dikendalikan B.Sathianathan bermula 2019 dan mencatat keputusan yang positif dengan menduduki tangga ketiga Liga Super serta mara ke semifinal Piala FA dan Piala Malaysia.

Baca : Kalau penyerang tak skor, takkan saya nak skor gol

Baca : Sathianathan – ‘Saya bukan ahli silap mata’

Namun permulaan hambar musim ini di sebalik berbelanja besar, menyaksikan Sathianathan terpaksa disingkirkan selepas hanya lapan perlawanan.

Mereka menamatkan musim ini di tangga kelima dengan 17 mata namun gagal mencapai sasaran layak ke Piala AFC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.