‘Captain Marvel’ Kedah kembali ke dalam KFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

‘Living legend’ bolasepak tanah air yang juga captain marvel pasukan Kedah pada era 90-an, Radhi Mat Din kembali ke dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) apabila menang tanpa bertanding jawatan Naib Presiden pada Kongres Luar Biasa yang berlangsung pagi Ahad.

Nama Radhi Mat Din cukup disayangi penyokong Kedah. Beliau menghabiskan sepenuh kariernya sebagai pemain bersama Lang Merah sejak dari 1986 hingga saat menggantung but pada 2000.

Dalam tempoh itu Radhi Mat Din mencipta nama sebagai salah seorang pemain tengah pernah disaksikan dalam Liga Malaysia, memakai lilitan di lengan selaku kapten pasukan dan mengetuai Kedah menjulang semua trofi utama domestik.

Selepas bersara Radhi Mat Din disunting KFA sebagai penolong jurulatih dengan kejayaan paling sensasi sudah tentunya ketika Lang Merah menjulang treble dua musim berturut-turut pada 2006 dan 2007. Selepas itu beliau juga pernah bertindak sebagai jurulatih pasukan Piala Presiden dan mengetengahkan ramai pemain muda berbakat.

Melihat kepada reaksi penyokong dengan pelantikan Radhi Mat Din sebagai naib presiden, rata-rata menganggap beliau individu tepat untuk berada dalam KFA dan berharap pengalaman luasnya dapat membantu kepimpinan KFA terus mengorak langkah ke depan.

Sementara itu, EGM KFA turut mengisytiharkan Menteri Besar, Haji Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Presiden baru bagi penggal 2018 – 2022 setelah ahli gabungan sebulat suara mencalonkan beliau bagi mengisi jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melepaskan jawatan pada bulan lalu, dan prioriti ketika ini sudah tentunya menyelesaikan masalah kewangan melanda persatuan itu.

Foto : Gallery Hazriq Fahimi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.