Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakCara tidak betul punca Ramsey tolak tawaran sertai Manchester United

Cara tidak betul punca Ramsey tolak tawaran sertai Manchester United

Sir Alex Ferguson membimbing Manchester United selama 26 tahun dan menjadikan pasukan itu sebagai gergasi bolasepak dunia manakala Old Trafford pula sebagai pentas yang menjadi impian pemain-pemain berkelas dunia mahu bermain – theatre of dreams.

Sukar untuk seseorang pemain mengatakan tidak jika datang tawaran daripada Manchester United, apatah lagi jika Alex Ferguson sendiri yang mahukan mereka, tetapi ada juga pemain yang menolak untuk menyertai mereka – Aaron Ramsey salah seorang daripadanya.

Pada 2008, Aaron Ramsey yang baru berusia 17 tahun menyerlah sebagai bintang muda paling hangat dalam bolasepak inggeris setelah tampil dengan permainan luar biasa bersama Cardiff City di Liga Kejuaraan, menyaksikannya menjadi buruan United, Arsenal dan Everton.

United menyangkakan Ramsey sudahpun menjadi milik mereka setelah Cardiff menerima bidaan dan bersetuju memberi kebenaran untuk mereka berunding dengan pemain Wales itu, tetapi Cardiff sebenarnya turut memberi kebenaran sama kepada Arsenal.

Kiranya di pihak Cardiff mereka bersetuju dengan bidaan semurah £5 juta dari Manchester United dan Arsenal, dan kini terpulang kepada Aaron Ramsey untuk membuat keputusan pasukan mana dia mahu pilih untuk mengembangkan karier.

Apa yang berlaku selepas itu, sebaik sahaja Cardiff menerima bidaan mereka, United terburu-buru membuat kenyataan di laman rasmi mereka bahawa Aaron Ramsey akan menyertai kelab itu sedangkan tiada sebarang pertemuan berlaku antara kedua-dua pihak.

Aaron Ramsey MU Cara tidak betul punca Ramsey tolak tawaran sertai Manchester United

“United telah mencapai persetujuan dengan Cardiff untuk membawa Aaron Ramsey ke Old Trafford. Bagaimanapun pemain tengah berusia 17 tahun itu perlu terlebih dahulu bersetuju dengan terma peribadi dan melepasi ujian kesihatan sebelum perpindahan dilengkapkan.”

Bagi Ramsey, itu adalah cara yang tidak betul.

“Saya perlu membuat satu keputusan besar dalam karier, dua pasukan datang kepada saya, ayah saya adalah peminat United, menjadi impian dia saya bermain dengan pasukan kesayangannya.

“Ryan Giggs idola saya dan dia memberitahu United adalah pasukan tepat untuk saya, saya teruja tetapi saya sedikit ralat apabila diumumkan akan menyertai pasukan itu tanpa bercakap dengan saya, sedangkan Arsenal pula menunjukkan mereka serius mahu mendapatkan saya.

“Saya dijemput ke Emirates untuk melawat pusat latihan dan fasiliti pasukan, terbang menaiki jet peribadi ke hotel berjumpa dengan Arsene (Wenger) dan bercakap dengannya, dia meyakinkan saya Arsenal adalah tempat yang betul untuk pemain muda dan menunjukkan betapa dia mahukan saya.

“Jadi saya berpendapat cara itu betul dan saya rasa Arsenal lebih mahukan saya berbanding United, dan saya tidak pernah menyesal dengan pilihan itu,” kata Aaron Ramsey yang mana awal kariernya bersama Arsenal diselubungi kecederaan serius termasuk patah pergelangan kaki pada 2010.

Sepanjang 11 musim di Arsenal, Aaron Ramsey menjulang tiga Piala FA dan dua kali dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pasukan itu. Dia meninggalkan pasukan pada musim 2019/2020 setelah memahat nama sebagai legenda kelab untuk menyertai Juventus.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.