CEO Melaka United diselar buat kenyataan tidak betul dan tidak bertanggungjawab

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menerima kritikan hebat susulan kenyataan media terbaru bahawa pasukan itu telah berjaya menjelaskan tunggakan gaji dan elaun pemain skuad berkenaan lebih RM915,000.00 secara keseluruhan, termasuk kepada dua bekas pemain Uche Agba dan Curran Lawrence Singh Ferns, yang mana didapati tidak benar.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Curran Ferns, yang mendakwa ia adalah kenyataan palsu dan dia belum menerima sebarang bayaran sepertimana dikatakan.

“Berita yang langsung tidak betul, satu sen pun belum terima,” tulisnya di instastory peribadi.

Ianya turut mendapat perhatian daripada Persatuan Pemain Profesional Malaysia, dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya Izham Ismail melabel kenyataan Melaka United itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Pemain belum dibayar lagi pada ketika kenyataan ini dikeluarkan, sepatutnya bayar dulu baru sembang, bukan sembang dulu baru bayar,” tegas Izham.

Selain bayaran kepada dua pemain itu, Mohd Saiful kelab itu juga telah menyelesaikan caruman tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Manakala tunggakan keseluruhan gaji bagi bekas pemain import dari Thailand, Narupon Wild Putsorn pula akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga M 2021.

“Pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain dan pegawai musim 2020 juga sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak. Pembayaran berjadual ini membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama pasukan 2021,” katanya.

Jika kenyataan mengenai pembayaran kepada Curran Ferns adalah tidak benar, adakah kenyataan Mohd Saiful mengenai perkara-perkara lain itu boleh dipercayai?

LabolaMalaya pada Selasa melaporkan bahawa Melaka United menjadi pasukan Liga Malaysia pertama bagi tahun 2021 untuk dikenakan hukuman sekatan perpindahan (pertengahan musim) oleh FIFA susulan kegagalan mereka menepati arahan pembayaran tunggakan gaji berjumlah RM241,726.69 dalam tempoh 45 hari kepada Narrupon Wild.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Melaka United berdepan situasi memalukan seperti ini, pada musim lalu mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji kira-kira RM1.4 juta kepada bekas pemain dan pegawai pasukan musim 2019.

Bagi musim 2020, di sebalik kekangan kewangan dihadapi mereka rancak berbelanja membawa masuk pemain-pemain seperti Romel Morales, Syamim Yahya, Ferris Danial Mat Nasir, Nurridzuan Abu Hassan selain mengekalkan pemain tonggak seperti Razman Roslan, Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.