CEO Melaka United : ‘Memang sudah bayar, tak perlulah nak nampak kita ni jahat sangat’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Pembayaran sememangnya sudah dibuat cuma duit mungkin belum masuk,” demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri berhubung dakwaan kelab itu membuat kenyataan tidak benar mengenai pembayaran tunggakan gaji Curran Ferns Singh.

Melaka United pada Rabu membuat kenyataan bahawa mereka telah berjaya menjelaskan tunggakan gaji dan elaun pemain skuad berkenaan lebih RM915,000.00 secara keseluruhan, termasuk kepada Curran Singh, tetapi pemain itu mendakwa ia adalah kenyataan palsu dan dia belum menerima sebarang bayaran sepertimana dikatakan.

Ia sekaligus turut mengundang perhatian Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya Izham Ismail melabel kenyataan Melaka United itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Bagi pihak kita, sudah selesai. Bukti resit dan slip bayaran semua ada pada kita. Pembayaran itu sudah dibuat semalam. Ferns jangan tuduh kita macam itu, dia kena tanya kita supaya kita boleh jelaskan. Tak perlulah nampak kita jahat sangat, kalau tak bayar kita akan kata tak bayar.

“Kita sudah selesaikan, kita ada bukti pembayaran, tapi kita hubungi bank kata ada masalah ‘line’, cuma (duit itu) akan masuk hari ini juga,” kata Mohd Saiful kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, Curran Singh sebelum ini meminta hukuman berat dikenakan ke atas Melaka United, iaitu menarik balik lesen kelab dan menyingkirkan pasukan itu dari Liga Super jika mereka tidak menyelesaikan tunggakan RM97,500 sepertimana diarahkan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum 17 Februari depan.

Baca : Curran Singh mahu hukuman berat dikenakan ke atas Melaka United

Dalam pada itu, Mohd Saiful memberitahu tunggakan keseluruhan gaji bekas pemain import dari Thailand, Narrupon Wild Putsorn berjumlah RM241,726.69 pula akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga M 2021.

Sebagai rekod, Narrupon atau dikenali sebagai Nazza menyertai Melaka United pada bulan Februari 2020 dan meninggalkan pasukan itu pada Julai berikutan masalah tunggakan gaji sebelum membuat keputusan membawa isu tersebut ke pengetahuan FIFA.

Melaka United sebelum ini diberikan tempoh 45 hari bermula 11 November untuk membayar pemain dari Thailand itu tetapi sudah dua bulan berlalu dia masih menanti pembayaran untuk dibuat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.