Cerita Sama Tiap Perlawanan, Dollah Salleh Bertambah Bingung

Malaysian Football League
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dollah Salleh nampaknya terus kebingungan memikirkan pasukannya tidak dapat menoktahkan kemarau kemenangan meskipun sudah bermain dengan cantik.

Sri Pahang mengakhiri aksi Liga Super 2021 dengan kekalahan 0-1 kepada Uitm FC yang menduduki tangga tercorot, sekaligus menyaksikan mereka tidak menang dalam enam perlawanan terakhir.

Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Kwon Yong Hyun di separuh masa pertama menghadiahkan kekalahan ke-12 buat Sri Pahang musim ini, sekaligus menamatkan kempen suram di tangga kesepuluh.

“Dua perlawanan terakhir saya berpuas hati dengan persembahan tapi keputusan sungguh mengecewakan. Saya bagitau pemain kalau kita bermain baik tapi tak menang, tetap orang akan pertikaikan. Pada malam ini benda sama berlaku, khususnya di bahagian serangan yang mensia-siakan peluang jaringan.

“Saya tak berapa risau di bahagian pertahanan, kalau tengok 10 perlawanan terakhir kita banyak menguasai bola dan mencipta peluang, tapi itu yang saya khuatir kita tiada jaringan. Dah tak tahu macam mana cara, sampai peluang terhidang macam gitu pun takleh nak skor. Itu yang saya bimbang di Piala Malaysia nanti.

“Macam saya cakap, dari segi persembahan dua perlawanan terakhir baru saya dapat gunakan kesebelasan terbaik. Selama ini ramai pemain cedera, masa lawan JDT hampir 15 pemain cedera. Bila dapat kumpulkan pemain terbaik, boleh tengok kita main cantik tapi susah nak skor.

“Saya pun dah cakap kepada pemain kena menang lawan Uitm sebagai bekalan semangat dan motivasi untuk saingan Piala Malaysia, tapi masih lagi benda tu berlaku,” kata Dollah Salleh selepas perlawanan.

Sri Pahang hanya mencatat empat kemenangan dalam Liga Super musim ini dengan kali terakhir mereka merasai nikmat kemenangan adalah pada 1 Ogos menewaskan PJ City di Kuantan.

Mereka juga hanya menjaringkan 23 gol di sebalik menggunakan antara pemain import paling ramai di barisan serangan bermula dengan kelibat Pedro Henrique, Yevhen Bokhasvili, Manuel Hidalgo, Aung Kaung Mann dan Kenny Athiu selain pemain tempatan seperti Malik Mat Ariff.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.