Cheah Liek Hou : “Ada Orang Rasa Hina Sangat Kalau Kalah Dengan Saya”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas melakar sejarah gemilang memenangi pingat emas badminton di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou mendedahkan kekurangan fizikalnya pernah beberapa kali menjadi bahan ejekan dan sindiran sehingga ada yang merasakan hina sangat jika tewas kepadanya.

Cheah Liek Hou mengalami Erb’s Palsy yang mana menyebabkan tangan kanannya lemah dan kurang stabil sejak dilahirkan dan melakukan kebanyakan aktiviti lasak bersandarkan kekuatan tangan kiri, termasuk bermain badminton.

“Selain bermain dalam kategori para, saya pernah juga bermain dengan pemain normal sewaktu zaman sekolah sejak berusia 12 tahun.

“Ketika itu ada sebilangan individu yang bergurau, main dengan atlet para pun kalah, inikan pula nak main dengan pemain normal, kiranya kalah kepada saya sesuatu yang terlalu buruk bagi mereka. Namun saya tak patah semangat kerana nak buktikan saya boleh berjaya,” katanya.

Cheah Liek Hou pada Sabtu muncul pemain pertama memenangi emas sukan badminton yang dipertandingkan pertama kali di Paralimpik, menerusi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15.

Seemntara itu, pemain nombor dua dunia itu juga memberitahu pernah hampir berputus asa menjadi pemain badminton, apabila menyedari sukan berkenaan tidak dipertandingkan di Sukan Paralimpik.

Malah Cheah Liek Hou turut membuat keputusan bekerja sebagai eksekutif pemasaran sekitar tahun 2015 dan hanya menjadikan badminton sebagai kerjaya sambilannya.

Segalanya berubah bagi Cheah Liek Hou, apabila badminton buat kali pertama disenaraikan pada Paralimpik Tokyo.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya untuk beraksi di Sukan Paralimpik, termasuk menjadikan legenda badminton tanah air Datuk Rashid Sidek sebagai jurulatihnya sejak 2019.

“Bayangkan ketika bekerja dahulu berat badan saya bertambah sehingga 92 kilogram (kg) namun selepas menyedari berpeluang untuk ke Paralimpik, saya kembali jalani rejim latihan sehingga berat badan menyusut sebanyak 20kg,” ujarnya yang pernah muncul juara dunia enam kali.

Jelas sekali ianya pengorbanan yang berbaloi buat Cheah Liek Hou dan dia mendedikasikan emas ini untuk rakyat Malaysia khususnya Rashid, keluarga, bekas jurulatihnya dan rakan-rakannya.



Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.