Cheah Liek Hou Niat Sedekah Sebahagian Duit Ganjaran RM1.1 Juta

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemenang pingat emas badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou tidak gelap mata dengan ganjaran lebih RM1 juta yang akan diterimanya susulan kejayaan bersejarahnya itu.

Selain RM1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Cheah Liek Hou juga akan menerima imbuhan tambahan RM100,000 dari FWD Takaful, pencen bulanan serta ganjaran-ganjaran lain yang dijangka menyusul selepas ini.

“Saya mahu sedekahkan sebahagian daripada ganjaran itu. Saya akan beri bantuan kepada mana-mana rumah rumah kebajikan yang memerlukan. Ini sesuatu yang memang saya sudah lama rancang, saya percaya dalam rezeki saya, ada juga rezeki orang lain,” katanya dipetik daripada BH Sukan.

Pada Sabtu, Cheah Liek Hou yang berusia 33 tahun melakar sejarah gemilang memenangi emas dengan menundukkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final kategori SU5 (kecacatan fizikal) di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu mempunyai masalah Erb’s Palsy, yang mana tangan kanannya lemah dan tidak stabil justeru menyandarkan kepada kekuatan tangan kiri untuk melakukan aktivit lasak, termasuk bermain badminton.

Sementara itu Cheah Liek Hou turut memberi penghargaan khusus kepada Datuk Rashid Sidek yang banyak berkorban dalam menbantunya memenangi emas sukan badminton yang pertama kali dipertandingkan di Paralimpik.

“Dia sanggup meninggalkan keluarga dia apabila selama tiga bulan bersama saya menjalani latihan secara kuarantin di MSN (Majlis Sukan Negara)… memang saya nampak dia betul-betul bagi jiwa dan raga dia untuk membantu saya.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga terutama ibu (Jap Joe Tjin) dan isteri saya (Dewi Febriana), mereka tidak merungut apa-apa pun sepanjang ketiadaan saya untuk melakukan persiapan menghadapi Sukan Paralimpik.

“Tidak lupa juga kepada MSN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang banyak memberi sokongan. Kalau bukan kerana mereka yang membayar gaji kepada Datuk Rashid bagi melatih saya, tidak mungkin saya dapat capai prestasi seperti hari ini,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.