Cheng Hoe akui jurang terlalu besar antara kesebelasan utama, pemain gantian

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekalahan 1-4 kepada Kuwait mungkin sekadar satu peluang untuk menguji pemain-pemain, tetapi pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui ia memberi gambaran awal kepadanya mengenai kesebelasan utama skuad Harimau Malaya untuk aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Cheng Hoe menurunkan barisan pemain berbeza di kedua-dua babak, di mana pada separuh masa pertama skuad negara tampil memberi saingan dengan berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Gol tunggal dijaringkan pemain naturalisasi, Guilherme De Paula pada minit ke-28.

Namun selepas sembilan pertukaran dibuat ketika rehat, Harimau Malaya dilihat longlai dan gagal mengimbangi permainan apabila melepaskan tiga gol di separuh masa kedua.

Skuad separuh masa pertama : Farizal Marlias, Rizal Ghazali, La’vere Corbin Ong, Aidil Zafuan (kapten), Irfan Zakaria, Nor Azam Azih, Brendan Gan, Syamer Kutty Abba, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid, Guilherme De Paula

Skuad separuh masa kedua : Khairul Azhan (Samuel Somerville), Junior Eldstal, Adam Nor Azlin (kapten), Dominic Tan, Syahmi Safari, Liridon Krasniqi, Syamer Kutty (Nazmi Faiz), Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim, Guilherme De Paula (Norshahrul Idlan Talaha), Syafiq Ahmad

“Kita tahu keputusan ini sedikit sebanyak menjejaskan moral pasukan dan saya rasa pemain juga kecewa dengan keputusan ini.

‘Tiada lagi aksi latihan selepas Bahrain jadi pemain perlu bangkit. Kita mahukan pemain bermain secara sepasukan dan menunjukkan semangat.

“Kami barisan jurulatih akan menganalisis apa kelemahan dan yang penting kita nak tengok pemain bangkit daripada kekalahan itu dan bermain sebagai satu pasukan.

“Kita juga sekali lagi nak lihat kerjasama berpasukan dan semangat berpasukan dapat kembali kepada pasukan. Walaupun saya dah cuba bagi peluang kepada semua pemain bermain.

“Memang nampak satu jurang yang agak besar juga perlawanan separuh masa pertama dan kedua, dan di situ kami dah boleh tahu gambaran pemain yang kita rasa boleh menggalas sebagai pemain kesebelasan utama dalam pasukan.

“Sudah tentu kita masih lagi ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan kita akan meningkatkan lagi kekuatan pasukan yang sebenarnya,” ujar Tan Cheng Hoe.

Menentang Bahrain akan menjadi aksi persiapan terakhir skuad negara sebelum bermain dalam baki tiga aksi Kumpulan G pusingan kelayakan menentang UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Ketika ini harimau malaya di kedudukan kedua dengan sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam, dan satu mata mengatasi Thailand.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.