“Potensi hilang 6 mata beri kesan kepada keyakinan dan mental pemain”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak mahu penarikan diri Korea Utara dari pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mengganggu persiapan skuad Harimau Malaya untuk mengharungi baki saingan.

Namun dia tidak menolak bahawa perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada keyakinan dan moral para pemain apatah lagi Harimau Malaya dijangka akan kehilangan enam mata disebabkan tindakan tindakan Korea Utara itu.

Ini kerana keputusan membabitkan pasukan tercorot dalam setiap kumpulan tidak akan diambil kira – dalam hal ini dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia tidak akan dikira – sekaligus menjejaskan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya.

Begitupun belum ada keputusan rasmi diumumkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung perkara itu.

“Buat masa sekarang kita perlu fokus kepada perlawanan yang akan kita hadapi nanti. Kita juga perlu menanti apakah keputusan yang akan dibuat oleh AFC.

“Penarikan diri pasukan Korea Utara pastinya akan memberikan kesan kepada pasukan kita dari sudut keyakinan dan mental pemain, tetapi ketika ini fokus kami adalah untuk perlawanan akan datang,” katanya dalam sesi bersama media pada Ahad.

Sementara itu, Tan Cheng Hoe memaklumkan seramai 20 pemain sudahpun melapor diri di kem latihan skuad kebangsaan yang bermula Ahad.

Hanya Syahmi Safari yang akan melapor diri pada Isnin selepas menyelesaikan urusan peribadi, manakala empat pemain yang berpengkalan di luar negara iaitu Liridon Krasniqi (Newcastle Jets), Dominic Tan (Police Tero), Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) akan menyertai mereka di Dubai pada 20 Mei.

“Dari sudut fizikal, kita telah menambah kekuatan dengan kemasukan pemain seperti Liridon Krasniqi, Junior Eldstal serta Guilherme de Paula namun bola sepak bukan sahaja dimainkan menggunakan (kekuatan) fizikal sahaja, tetapi turut memerlukan kemahiran teknikal. Saya berharap, kita akan dapat mencabar mereka (UAE),” ujar Tan Cheng Hoe.

Malaysia akan berdepan pasukan UAE pada 3 Jun disusuli Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) – kesemua perlawanan berlangsung di Dubai.

“Kita tahu UAE adalah sebuah pasukan yang melakukan persiapan rapi. Kali ini saya melihat pasukan UAE melakukan persiapan dengan lebih baik dan serius.

“Walau bagaimanapun, ia bukan alasan untuk kami. Kita perlu pergi dan memberikan fokus dalam setiap perlawanan. Itu adalah 3 perlawanan yang paling penting untuk kami,” tambah Cheng Hoe.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.