Cheng Hoe anggap Sumareh masuk JDT untungkan Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menganggap pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh telah membuat keputusan tepat dengan berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun bakal berdepan saingan sengit untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama pasukan dipenuhi lambakan pemain berstatus bintang itu, Cheng Hoe berkata ia bukan sahaja perkembangan yang bagus untuk perjalanan karier pemain sayap itu, dalam masa sama memberi manfaat besar kepada skuad Harimau Malaya.

“Saya rasa dengan suasana, fasiliti terbaik dan dibarisi pemain yang orang kata berkualiti akan memberi satu saingan sengit. Bagi saya pemain yang ada di JDT mempunyai kelebihan termasuk persaingan sihat dalam latihan dan perlawanan, jadi memang ada manfaat untuk pasukan kebangsaan,” kata Cheng Hoe dilaporkan BHSukan.

Jika sebelum ini Sumareh merupakan pilihan automatik di posisi sayap pasukan Pahang, situasi itu mungkin tidak sama di JDT memandangkan dia perlu bersaing dengan pemain seperti Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera, Akhyar Rashid serta bintang muda meningkat naik Ramadhan Saifullah, sama ada untuk posisi sayap kanan mahupun kiri.

Sebagai rekod, Sumareh diumumkan sebagai pemain baru JDT pada minggu lalu, hanya beberapa hari selepas dia menang tuntutan yang difailkan ke atas Persatuan Bolasepak Pahang. FIFA telah mengarahkan PBNP membayar RM4.9 juta kepada pemain itu merangkumi tunggakan gaji dan manfaat pelanggaran kontrak.

Dia adalah salah seorang daripada lima pemain baru Harimau Selatan yang bukan sahaja akan beraksi di pentas domestik bagi memburu kejuaraan kelapan berturut-turut Liga Super, tetapi juga akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia buat musim ketiga.

Selain Sumareh, empat lagi pemain baru JDT adalah seorang lagi pemain kebangsaan Daniel Amier Norhisham, pemain muda Indonesia Syahrian Abhimanyu, bekas kapten Harimau Malaya Safiq Rahim dan penyerang import dari Argentina Jonathan Herrera.

Bagaimanapun Syahrian bersama-sama Liridon Krasniqi kemudiannya dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle Jets.

JDT akan memulakan aksi musim baru Liga Malaysia dengan turun menentang naib juara Liga Super musim lalu, Kedah dalam perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 5 Mac 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.