Cheng Hoe belum pasti turunkan Dion Cools lawan UAE

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui pemain berdarah kacukan, Dion Cools bertarung dengan masa untuk segera serasi dengan rakan sepasukan menjelang aksi menentang Emiriah Arab Bersatu pada Khamis ini.

Justeru Cheng Hoe tidak memberi jaminan pemain itu yang baru melapor diri hari ini akan diturunkan pada perlawanan tersebut, dalam masa sama tidak mahu memberi tekanan kepada pemain yang boleh bermain selaku pertahanan kanan, tengah mahupun kiri itu.

“Kita harap dia boleh dapatkan persefahaman secepat mungkin termasuk dengan cara permainan skuad Harimau Malaya dan cuaca yang berbeza. Apa yang penting kami barisan jurulatih sentiasa positif dengan kehadiran Cools dalam skuad kebangsaan kali ini.

“Saya tidak boleh maklumkan peratusan (Cools akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang UAE), tapi kita akan memantau lagi dalam satu atau dua hari latihan. Kita tidak boleh terlalu bagi tekanan yang tinggi kepada dia kerana dia baru kali pertama sertai pasukan kebangsaan.

“Kami barisan jurulatih sudah pasti akan bagi tugasan atau kerja rumah untuk dia buat termasuk dengan menunjukkan video mengenai cara permainan pasukan dan pergerakan taktikal.

“Memang kalau kita lihat pengalaman dia bermain di Liga Belgium, Liga Denmark dan Liga Juara-Juara memang memberi dia kelebihan untuk bermain dalam kesebelasan utama.

“Saya masih yakin pengalaman itu boleh bantu dia untuk perlawanan penting menentang UAE dan kita juga tidak boleh membuat kesilapan besar yang boleh mengundang keputusan negatif,” katanya pada sidang media online bersama wartawan di Malaysia pada Selasa.

Sebagai rekod, Dion Cools yang beraksi dengan kelab Denmark FC Midtjylland, diumumkan sebagai pemain ke-26 Harimau Malaya bagi memperkasa cabaran di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sementara itu, penjaga gol Farizal Marlias pula mengakui kehadiran Dion Cools memberi kekuatan tambahan kepada Harimau Malaya dalam masa sama menolak tanggapan dia akan menjadi ‘virus’ dalam pasukan.

“Pemain-pemain menerima dia dengan tangan terbuka. Bagi saya ia bukan untuk nak jadi virus kepada pasukan tapi nak menambah baik kepada pasukan dari segi bahagian pertahanan.

“Jadi semua yang saya lihat mereka terima dengan positif dan saya yakin pemain-pemain lain juga mungkin akan beri yang terbaik kerana kita tak tahu siapakah yang akan diberi kepercayaan untuk bermain, saya percaya pemain akan beri yang terbaik.

“Setiap pemain dalam pasukan ini memiliki hubungan yang sangat baik dan diharap ia akan digunakan sebaik mungkin menjelang perlawanan bertemu UAE. Saya juga berasakan jurulatih Tan Cheng Hoe turut berdepan kesukaran dalam memilih barisan kesebelasan utama dan kehadirannya secara tidak langsung meningkatkan mutu pasukan.

“Saya pun baru pertama kali jumpa dia. Saya akui teruja sebab apa yang kita nampak, dia ada reputasi yang hebat bermain di luar negara, jadi saya mengharapkan pengalamannya itu dapat dikongsikan dengan pemain lain,” kata Farizal.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.