Cheng Hoe Enggan Jawab Kenapa Tidak Pernah Panggil Natxo Insa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru-baru ini Tan Cheng Hoe mengumumkan senarai 24 pemain untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi mengharungi kalendar antarabangsa pada Oktober.

Beberapa pemain utama dari Johor Darul Takzim disisihkan termasuklah Farizal Marlias, Safawi Rasid, Arif Aiman serta Matthew Davies dan Cheng Hoe telahpun memberi penjelasan mengenai tindakan tersebut.

Menurutnya dia mahu mengambil peluang menguji gandingan baru dari kalangan tenaga muda bagi membentuk skuad mantap ke Piala AFF selain menegaskan pemain-pemain bintang JDT sudah sedia diketahui kebolehan mereka.

Berita Berkaitan : Cheng Hoe Tepis Tanggapan JDT Tak Lepas Pemain

Cheng Hoe juga dilihat mahu memberi peluang kepada pemain-pemain yang mencuri tumpuan musim ini seperti Hakimi Abdullah, Al Hafiz Harun, Sharul Nazeem Zulpakar dan Faisal Halim untuk membuktikan sesuatu.

Namun, ada seorang pemain yang tidak pernah dipanggil oleh Cheng Hoe, iaitu pemain tengah JDT Natxo Insa meskipun pemain itu sudah kembali berada di tahap prestasi terbaik dan merupakan salah seorang tunjang utama pasukan harimau selatan musim ini.

Dan ketika dihubungi LabolaMalaya bertanyakan mengenainya, Cheng Hoe jelas tidak mahu komen mengapa pemain itu tidak mendapat tempat di dalam skuadnya.

“Maaf (tidak mahu komen). Sudah banyak yang saya jelaskan. Terima kasih,” ujarnya ringkas.

Untuk pengetahuan Natxo Insa berstatus pemain tempatan berikutan mempunyai darah Malaysia dan pemain kreatif berusia 34 tahun itu pernah dipanggil sekali untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada 2019 ketika aksi persahabatan menentang Mongolia.

Selepas itu dia tidak dapat disenaraikan kerana mengalami kecederaan namun tahun ini tampil sebagai tonggak instrumental apabila beraksi dalam 19 daripada 22 perlawanan Liga Super.

Ramai menjangka namanya akan disenaraikan Cheng Hoe untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada Jun lalu namun ia tidak menjadi kenyataan.

Hendak kata dia sudah bersara dari aksi antarabangsa juga tidak mungkin kerana Natxo Insa dalam satu laporan akhbar tempatan pada tahun lalu ada memberitahu dia bersedia untuk kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil.

“Persaingan dalam pasukan merebut posisi tengah cukup sengit namun ia satu situasi sihat kepada saya serta pasukan kerana secara tidak langsung masing-masing akan tingkatkan prestasi.

“Namun jika ditanya kepada saya adakah saya mahu beraksi jika mendapat panggilan, ya sudah tentu saya akan menerimanya dan tidak akan menolak kerana ia satu penghormatan dalam karier mana-mana pemain,” kata Natxo Insa.

Jadi, apakah punca sebenar tiada tempat dalam Harimau Malaya buat Natxo Insa?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.