Cheng Hoe jawab dakwaan sengaja ketepikan pemain Terengganu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong bolasepak tanah air diminta memahami sebab beberapa pemain yang berada dalam prestasi terbaik tidak dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain pada Selasa, dengan pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) mendominasi senarai.

Tetapi ketiadaaan nama beberapa pemain yang sedang memuncak prestasi ketika ini terutama tiga pemain Terengganu FC – Hakimi Abdullah, Faisal Halim, dan Arif Fadzillah – selain Rodney Celvin (Kedah) dan Al Hafiz Harun (Penang FC) menjadi pertikaian ramai yang kecewa Tan Cheng Hoe panggil pemain bukan berdasarkan prestasi semasa.

Malah tindakan Tan Cheng Hoe menyenaraikan nama Akhyar Rashid yang sekadar memanaskan bangku simpanan turut menjadi sasaran kritikan hebat penyokong sehingga mendakwa jurulatih itu mengamalkan diskriminasi dengan sengaja mengetepikan pemain dari pasukan tertentu khususnya Terengganu FC.

Tan Cheng Hoe memberi penjelasan mengenai dakwaan itu dan memberi jaminan pemain-pemain yang tidak tersenarai kali ini akan dipanggil pada masa akan datang.

“Kita sentiasa membuka pintu buat mana-mana pemain ke pasukan kebangsaan dan kita pilih pemain bukan dari pasukan mana dia datang tetapi mengikut kemampuan beraksi di pentas tertinggi yang jauh berbeza dengan tahap liga kita.

“Paling penting pemain dapat berikan sesuatu tapi bukan bermaksud pemain terbabit tak boleh bagi sumbangan tetapi perlawanan antarabangsa tahapnya berbeza.

“Bukan juga saya merendahkan Liga Malaysia dengan antarabangsa, tetapi kita kena fahami tahap kedua-duanya berbeza. Cuba tanya mana-mana jurulatih mereka pun tahu suasana berbeza dan intensiti tinggi serta kelajuan bola yang agak berbeza.

“Kita barisan kejurulatihan sudah berbincang dan setuju dengan 25 pemain yang dipanggil ini untuk memikul tugas itu nanti,” katanya seperti dilaporkan Arena Metro.

Menurut Tan Cheng Hoe lagi, “Banyak orang pertikaikan Akhyar, kena faham bukan bermaksud Akhyar akan terus dapat main dalam kesebelasan utama. Dia kena tunjukkan kepada kami dalam latihan dan pada aksi persahabatan nanti.

“Bukan semua 25 akan disenaraikan dalam satu-satu perlawanan, kita kadang-kadang ada 23 pemain yang akan didaftarkan dalam perlawanan. Tapi kena faham, Akhyar masih ada potensi dan dia masih muda serta relevan lagi untuk mewakili negara.

“Dia antara aset masa depan bola sepak kita dan pemain muda yang sudah banyak pengalaman di pentas tertinggi sama ada ketika bersama JDT dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan skuad negara sebelum ini.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.