Cheng Hoe puas hati, tak salahkan mana-mana pemain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menerima kekalahan 1-2 di tangan Vietnam dengan hati terbuka dan mengakui pemain-pemainnya telah memberi komitmen terbaik.

Beberapa pemain seperti Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh sekali lagi tampil dengan permainan sangat mengecewakan sehingga terpaksa dikeluarkan, manakala Brendan Gan pula menghadiahkan penalti kepada Vietnam di lewat permainan, namun Tan Cheng Hoe memilih tidak menyalahkan sesiapa.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan semua pemain, namun kerana sedikit kelekaan, pintu gol kita dibolosi. Saya juga tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain atas kekalahan ini, cuma kita perlu terus meningkatkan mutu permainan kita sebagai satu pasukan pada masa akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia bangkit mengikat kedudukan menerusi penalti Guilherme De Paula pada minit ke-72 setelah terdahulu ketinggalan di separuh masa pertama kepada jaringan Nguyen Tien Linh. Namun Vietnam berjaya mendapatkan jaringan kemenangan pada minit ke-82 menerusi penalti Que Ngoc Hai.

Kekalahan keempat dalam tujuh perlawanan menyaksikan Malaysia menghuni tangga keempat dengan sembilan mata, sekaligus menutup peluang mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, dalam masa sama terlepas peluang layak secara automatik ke Piala Asia.

Harimau Malaya bagaimanapun perlu menang aksi terakhir menentang Thailand, untuk menamatkan saingan Kumpulan G di tempat ketiga dan merebut tempat di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

“Fokus kita beralih ke kelayakan Piala Asia. Oleh itu, kesemua pemain perlu bersedia untuk perlawanan dengan Thailand nanti kerana saya menjangkakan ia pastinya bukan perlawanan yang mudah.

“Lagipun, mereka dilihat memiliki ‘masa rehat’ yang lebih baik berbanding kita. Namun, sebagai jurulatih, saya akan memastikan semua pemain dalam keadaan cergas dan bersedia untuk berdepan Thailand,” ujarnya.

Pada perlawanan menentang Thailand 15 Jun nanti, mungkin Tan Cheng Hoe boleh mempertimbangkan menurunkan pemain yang lebih membawa impak seperti Nazmi Faiz Mansor,  Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim di dalam kesebelasan utama.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.