Cheng Hoe sedia senaraikan semula Safiq Rahim perkuat Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tan Cheng Hoe bersedia memanggil semula Safiq Rahim untuk memperkuatkan skuad kebangsaan jika pemain itu dapat menyerlahkan prestasi terbaik bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Kali terakhir Safiq Rahim disenaraikan Cheng Hoe adalah pada tahun 2018 – ketika dia masih bermain untuk pasukan Harimau Selatan – dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bekas kapten skuad kebangsaan itu sudah melepasi zaman emasnya.

Tiada apa yang hebat dipersembahkan Safiq Rahim selama dua musim dia menyarung jersi Melaka United, tetapi kini dia telah kembali bersama pasukan JDT yang menjadikannya salah seorang pemain paling berjaya dalam Liga Malaysia, tidak mustahil dia dapat memenangi hati Cheng Hoe.

Apatah lagi, pemain itu sendiri pernah mengatakan prestasinya memuncak dan berada pada tahap terbaik 10/10 ketika bersama JDT berbanding pasukan-pasukan lain yang pernah diwakilinya.

“Sudah tentu kami akan menilainya dan jika prestasinya baik, sudah tentu dia akan dipanggil semula. Semua itu bergantung kepada prestasinya di tengah padang.

“Sebenarnya bukan Safiq saja, tak kira pemain mana sekalipun, jika mereka menyerlah dalam saingan liga nanti dan berada pada prestasi terbaik, kami akan panggil,” kata Cheng Hoe kepada Sinar Harian.

Posisi jeneral tengah skuad Harimau Malaya ketika ini digenggam erat Brendan Gan (Selangor) dan Nor Azam Azih (Pahang), manakala pemain-pemain lain di dalam senarai antaranya adalah Syamer Kutty Abba (JDT), Abdul Halim Saari (Selangor), Kenny Palraj (Perak) dan Azzizan Nordin (Sabah).

Sebagai rekod, bersama pasukan kebangsaan Safiq Rahim pernah menjulang Piala AFF Suzuki pada tahun 2010 manakala pada 2014 dia muncul penjaring terbanyak Piala AFF yang menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran selaku naib juara.

Di pentas domestik pula, pemain berusia 34 tahun itu menjulang Liga Super sebanyak enam kali (sekali bersama Selangor dan lima kali bersama JDT) selain merupakan tunjang skuad JDT menjuarai Piala AFC 2015.

Dia juga pernah dinobatkan Pemain Tengah Terbaik Liga Malaysia sebanyak empat kali dan Pemain Paling Bernilai pada 2015, sehinggakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri melabelnya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah JDT.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.