Cheng Hoe tegaskan pemain sudah tahu banyak perkara mengenai cara Vietnam bermain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe optimis keputusan positif boleh dicatat dalam perlawanan WAJIB menang ke atas Vietnam pada 11 Jun ini.

Menurut Cheng Hoe, dia sudah mengkaji sebaik mungkin mengenai cara permainan Vietnam dan pemain-pemain juga telah memperolehi banyak input mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan kendalian Park Hang Seo itu yang ketika ini sedang di prestasi terbaik.

“Saya rasa kita perlu kekalkan cara permainan kita dan perlu menambah baik dari segi kekuatan pasukan selain perlu kurangkan kesalahan individu.

“Kita tahu corak permainan Vietnam tidak berubah dari segi pertahanan dan menyerang. Kita juga tahu bahawa Vietnam ini berbahaya terutama daripada serangan balas mereka.

“Mereka ada pemain yang sama walaupun tanpa penjaga gol utama. Kita nampak keseluruhan pasukan Vietnam mempunyai corak permainan seperti biasa yang sering digunakan coach Park (Hang-seo).

“Sebab itu, saya tekankan fokus kepada serangan dan dalam masa sama sentiasa berwaspada dengan serangan balas pasukan Vietnam. Malah, kebanyakan perlawanan juga kita tidak bertahan kerana the best defense is a good offense,” kata Cheng Hoe ketika sidang media secara online bersama wartawan di Malaysia.

Sebagai rekod, Harimau Malaya kali terakhir menewaskan Vietnam adalah tujuh tahun lalu, apabila skuad yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh menang 4-2 dalam aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014.

Lima pertemuan selepas itu bermula tahun 2016 menyaksikan Harimau Malaya mencatat satu seri dan tewas empat kali; empat daripada lima pertemuan terakhir itu adalah di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.

“Memang kita tahu dalam empat perlawanan terakhir pasukan tidak dapat kemenangan, tetapi saya rasa pemain pun sudah tahu cara atau corak permainan Vietnam. Kita mesti mengambil setiap peluang yang berada di depan mata.

“Setiap kali bertemu Vietnam kita juga dapat banyak peluang jaringkan gol, sebab itu kita perlu fokus terus mencari peluang-peluang terbaik dan menjaringkan gol, apabila berada di hadapan gol.

“Apa yang penting adalah kita kena bermain sebagai satu pasukan dan saya percaya dengan kesebelasan utama yang akan diturunkan dapat berikan keputusan positif dalam perlawanan itu,” ujar Cheng Hoe.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.