Cheng Hoe tidak janji tempat buat Guilherme De Paula

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menjanjikan tempat secara automatik di dalam pasukannya kepada Guilherme De Paula, yang sah bertukar status kepada pemain tempatan.

Cheng Hoe tidak meragui kredibiliti penyerang Perak berasal dari Brazil itu tetapi menurutnya pemain itu perlu terlebih dahulu bersaing dengan pemain-pemain sedia ada dan membuktikan dirinya layak untuk diberi penghormatan menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

“De Paula bukan jaminan kesebelasan utama namun melihat kepada rekod jaringannya, dia memiliki potensi untuk disenaraikan dan dia perlu bekerja keras dan bermain sebagai sepasukan jika dipanggil ke dalam skuad kebangsaan.

“Saya ada bertemu dengannya sebelum ini, memang jelas dia begitu teruja mahu bermain dengan pasukan negara, cuma saya menasihatkan dia agar tidak terlalu tertekan dengan jangkaan yang tinggi. Dia merupakan seorang yang memiliki kualiti penyudah yang baik dan diharap akan menjadi kelebihan bagi kita.”

Baca : Cheng Hoe sedia senaraikan semula Safiq Rahim perkuat Harimau Malaya

Terdahulu, Perak FC mengumumkan dalam satu kenyataan ringkas bahawa De Paula yang akan berusia 35 tahun pada tahun ini akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Pemain itu telah beraksi lima tahun berturut -turut di Liga Malaysia bermula 2016 dengan mewakili PDRM, kemudiannya Kuala Lumpur sebelum menyertai Perak FC pada 2020, sekaligus memenuhi syarat FIFA untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Dia juga pernah menyarung jersi Selangor pada tahun 2015, membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 selain pernah merangkul Anugerah Penjaring Terbanyak pada tahun 2017 dengan 27 gol ketika membantu pasukan itu muncul juara Liga Premier.

De Paula menjadi pemain ketiga dinaturalisasikan dalam Liga Malaysia selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi, tetapi setakat ini hanya Sumareh seorang sahaja pernah menyarung jersi Harimau Malaya.

Harimau Malaya pada hakikatnya hanya mempunyai Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Mohd Fauzi dan Darren Lok sebagai penyerang tulen, tatkala beberapa pemain lain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Norshahrul Idlan Talaha dan Sumareh lebih kepada penyerang sayap. Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abd Razak pula berpangkalan di luar negara.

Justeru, sudah tentunya kehadiran Guilherme De Paula dilihat tepat pada waktunya untuk menambah sengat jentera serangan skuad negara yang akan turun bermain dalam baki aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.