Bekas jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei berkongsi kisah lucu ‘ditipu’ rakan media dalam usaha memujuknya ketika dia sedang berduka selepas gagal dalam misi memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Rio De Janeiro pada 2016.
Ia adalah final ketiga buat Chong Wei selepas edisi Beijing 2008 dan London 2012 yang mana dia tewas kedua-dua aksi final itu kepada Lin Dan, namun malangnya skrip sama berulang di Rio, kali ini tewas pula di tangan Chen Long.
Ini menyaksikannya mempunyai tiga pingat perak Sukan Olimpik di dalam koleksi.
“Beberapa minggu selepas pulang dari Rio, saya lepak minum bersama seorang kawan media saya. Dia cakap “Takpe la Chong Wei, jangan sedih. You tau tak you atlit international yang pegang olimpik perak paling banyak dalam sejarah olympik!”
“Hati ada senyum sikit, dan apabila balik sahaja ke rumah terus saya google dan semak fakta, setidak-tidaknya adalah sesuatu untuk saya banggakan betul tak? Chehh, kena kencing, top 10 pun tidak! Ia didominasi atlet gimnas dan renang,” ujarnya sambil tergelak.
Meskipun tiada dalam top 10 dan kata-kata rakan media Chong Wei itu hanyalah sekadar nak memujuknya yang sedang kecewa, tetapi ia tidak boleh menafikan bahawa dia salah seorang atlet cemerlang Sukan Olimpik. Empat penampilan dan tiga pingat perak, bukan mudah untuk melakukannya.
Gimnas atau perenang mendominasi carta kerana mereka boleh mengambil bahagian dalam begitu banyak acara, jadi sukar untuk membuat perbandingan.
Dalam pada itu, berkongsi kisah membuat penampilan di temasya sukan terbesar dunia itu kali pertama pada usia 22 tahun, Chong Wei berkata ia pengalaman menakjubkan yang sangat berbeza berbanding bermain di kejohanan lain.
“Pengalaman pertama saya, ketika usia 22 tahun, mewakili negara dalam acara perseorangan bersama Roslin Hashim dan Wong Choon Hann. Saya bertuah kerana ia berlangsung di Athens, tempat asalnya Sukan Olimpik.
“Ia tidak sama dengan kejohanan yang pernah saya sertai, ketika itu saya sedar ia bukan lagi mengenai diri saya, tetapi 30 juta rakyat Malaysia yang berdiri di belakang. Perasaannya, tidak dapat digambarkan dengan kata.
“Saya tidak sempat bertemu dengan Lin Dan, dia tersingkir pusingan pertama manakala saya tewas kepada Chen Hong di pusingan kedua. Taufik Hidayat menang emas. Selepas itu saya pasti semua tahu apa yang berlaku.
“Tiga pingat perak Olimpik, 16 tahun kehidupan dalam arena badminton. Saya masih ingat setiap perlawanan yang saya bermain, ia seperti baru semalam,” ujar Chong Wei yang pernah muncul naib juara Kejohanan Dunia sebanyak empat kali.
Foto ehsan : NSTP