Christian Eriksen terselamat daripada maut selepas rebah tidak sedarkan diri

Foto kredit : Reuters
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen terselamat daripada maut, selepas dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri selama beberapa minit dipercayai kerana cardiac arrest ketika perlawanan Euro 2020 menentang Finland, sebentar tadi.

Insiden terjadi pada minit ke-43 dan pemain Inter Milan itu terus diberikan rawatan pantas daripada barisan pegawai perubatan pasukan, termasuk memberikan bantuan pernafasan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) kepadanya.

Namun, tiada respon daripada Christian Eriksen walaupun pasukan perubatan melakukan sebaik mungkin menyebabkan ramai yang membuat kesimpulan awal pemain itu telah meninggal dunia.

Pengumuman UEFA bahawa perlawanan Denmark dan Finland ditangguhkan menambahkan lagi kegelisahan dan persoalan ramai mengenai keadaan pemain itu sebelum tular gambar dia diusung dalam keadaan sudah sedarkan diri, lantas memberi bayangan menunjukkan tiada apa untuk dibimbangkan.

Bekas pemain Tottenham Hotspurs itu dibawa ke hospital dan laporan UEFA mengatakan keadaannya beransur stabil, dan UEFA kemudian membuat pengumuman baru bahawa perlawanan akan dilangsungkan semula pada jam 2.30 pagi.

Pemain rebah dan tidak sedarkan diri di atas padang bukan perkara baru, malah sudah ramai yang menemui ajal secara tiba-tiba ketika sedang bermain antaranya pemain Nigeria Samuel Okwaraji yang meninggal dunia setelah pengsan ketika kelayakan Piala Dunia menentang Angola di Lagos pada 1989.

Pemain tengah Cameroon, Marc-Vivien Foe turut dijemput ajal di atas padang setelah rebah 15 minit sebelum tamat aksi separuh akhir Piala Konfederasi menentang Colombia pada 2003.

Pasukan perubatan berusaha 45 minit untuk menghidupkan jantung Foe sebelum dia disahkan meninggal dunia. Bedah siasat menunjukkan pemain Olympique Lyonnais itu mengalami hypertrophic cardiomyopathy, penyakit keturunan yang menambah kemungkinan untuk pengsan ketika melakukan latihan.

Seorang lagi bintang antarabangsa benua Afrika yang meninggal dunia kerana kegagalan jantung ketika bermain ialah Amir Angwe dan Endurance Idahor dari Nigeria serta pertahanan tengah Tunisia, Hedi Berkhissa.

Pemain Zambia, Chaswe Nsofwa juga rebah dan meninggal dunia di Israel ketika bermain untuk kelab pada 2007 manakala pada 2016, pemain Cameroon Patrick Ekeng turut mengalami nasib sama ketika beraksi untuk Dinamo Bucharest di Romania.

Seorang lagi pemain berprofil tinggi Ivory Coast, Cheik Tiote meninggal dunia ketika menjalani latihan bersama kelab Beijing Enterprises di China.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.