Chua Boon Huat, ikon bertocang yang abdikan diri kepada hoki hingga nafas terakhir

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hakcipta penulisan milik sepenuhnya Labola Malaya, sebarang penerbitan semula sila backlink kepada link asal. Terima kasih.


Nama Chua Boon Huat, pastinya diakui antara nama yang cukup ikonik bagi peminat hoki tanah air sekitar dekad pertama alaf baru.

Chua Boon Huat, sinonim dengan penampilan bertocang yang membuatkan kelibatnya mudah dikesan, antara baka ‘rare’ dunia hoki yang telah merasai pengalaman beraksi dalam kesemua pertandingan besar seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Trofi Juara-Juara, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Asia dan terakhir di Liga Hoki Dunia sebelum maut menjemput pada Ogos 2013.

Boon Huat Chua Boon Huat, ikon bertocang yang abdikan diri kepada hoki hingga nafas terakhir

Dia meninggal pada usia yang terlalu muda, 33 tahun kerana kecederaan parah di kepala setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong, beberapa jam selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Konfederasi Hoki Malaysia.

Chua Boon Huat, dengan 337 penampilan dalam jersi Malaysian Tigers, adalah pemain dengan rekod penampilan tertinggi ketika itu.

Dia baru sahaja 10 bulan kembali ke dalam skuad kebangsaan selepas hampir tiga tahun tersisih dan memasang tekad mahu membawa skuad negara layak ke Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016 sebelum menoktahkan karier.

Demi maruah negara

Mengambil kira reputasinya sebagai pemain paling berpengalaman dalam skuad kebangsaan ketika itu yang telahpun bermain di semua pertandingan besar, Chua Boon Huat tiada apa mahu dikejar atau dibuktikan, tetapi dia tidak pernah memikirkan mengenai gemilang peribadi.

Dia seorang yang mengabdikan diri kepada hoki dan sentiasa teruja mahu mewakili negara; dedikasi dan komitmennya adalah demi maruah negara tercinta; dan dia mahu menjulang nama Malaysia sebaris kuasa besar hoki Asia sebelum berundur.

Pernah ketika dia digugurkan dari skuad kebangsaan pada 2010, dia menjadi jurulatih skuad SUKMA Pahang serta berniaga burger di Kuantan; dan memberitahu penulis (dahulunya wartawan penyiaran) dalam satu temuramah bahawa dia tidak akan sesekali berputus asa untuk kembali.

Chua Boon Huat Chua Boon Huat, ikon bertocang yang abdikan diri kepada hoki hingga nafas terakhir

“Saya terlalu cintakan sukan ini, hoki mengalir dalam darah saya, tiada sebab untuk saya berputus asa (kerana digugurkan). Saya baru 30 tahun, jika ada kesungguhan tidak perlu kisah pasal usia, saya percaya boleh memenangi semula tempat di dalam pasukan dan akan menyumbang sepenuh kudrat demi negara yang saya sayangi ini,” kata pemain kelahiran Melaka ini.

Dia berjaya melakukannya apabila jurulatih negara ketika itu Paul Revington tertarik dengan kesungguhan serta prestasi ditunjukkannya ketika membantu KLHC menjuarai Liga Hoki Malaysia tiga tahun berturut-turut dan memanggilnya semula ke kem kebangsaan pada Oktober 2012.

“Sewaktu terpilih semula menyertai skuad kebangsaan selepas lama disisihkan, dia telah membuktikan kepada saya bahawa pemilihannya bukan satu kesilapan, dia seorang ‘fighter’ dan dedikasinya tidak boleh ditandingi pemain lain. Saya masih ingat dia berjanji mahu bawa pasukan ini layak ke Piala Dunia (2014). Ia satu penghormatan untuk mempunyai pemain sepertinya di dalam pasukan, dan saya bertuah pernah menjadi jurulatihnya,” kata Revington.

Sebagai rekod, karier Chua Boon Huat sebagai pemain kebangsaan bermula seawal usia 17 tahun apabila Paul Lissek menyenaraikannya dalam skuad pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998.

Pada usia 19 tahun, dia berada dalam skuad yang beraksi di Olimpik Sydney 2000 bersama-sama ramai pemain senior seperti Maninderjit Singh, Mirnawan Nawawi, Nor Saiful Zaini dan S.Kuhan.

Malaysia Olimpik 2000 Chua Boon Huat, ikon bertocang yang abdikan diri kepada hoki hingga nafas terakhir

Dia adalah kapten skuad remaja kebangsaan yang beraksi di Piala Dunia Remaja di Hobart pada 2001; pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2002 dan Sukan Komanwel 2006; selain gangsa Piala Asia 2007.

Dia dilabel pemain versatile yang boleh bermain di semua posisi, dengan posisi terakhirnya adalah penyerang dan telah menjaringkan lebih 70 gol untuk Malaysia.

Chua Boon Huat juga pernah bermain dengan kelab Jerman, Red White Munich pada 2002; kelab England, Teddington Club pada 2004; dan kelab New Zealand, Auckland pada 2008.

Chua Boon Huat; terima kasih atas dedikasi, sumbangan dan pengorbanan kepada negara tercinta, semoga kisah anak cina bertocang ini menjadi inspirasi kepada pemain muda lain yang mahu menempa nama sebagai ahli sukan.

Foto kredit : NSTP, TheStar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.