Cip Zainal Mahu Bawa Melaka United Ke Final Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan meletak sasaran tinggi mahu membawa pasukannya layak ke final Piala Malaysia musim ini.

Melaka United telah diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama Kedah Darul Aman dan dua pasukan Liga Premier.

“Saya sedar kebanyakan pemain Melaka tidak pernah merasa final Piala Malaysia, jadi saya selalu mencurahkan pengalaman saya untuk mereka dapat mencapai cita-cita itu.

“Sebagai pemain bola sepak, mereka perlu berada di final Piala Malaysia supaya boleh berpuas hati dengan karier mereka,” kata Zainal Abidin atau sinonim dengan panggilan cip dalam rancangan Nadi Weekend.

Dalam sejarah 100 tahun pertandingan Piala Malaysia, Melaka United tidak pernah sekalipun merasai nikmat beraksi di perlawanan akhir tetapi mereka mempunyai kelibat pemain yang pernah menjulang trofi berprestij itu seperti Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Norazlan Razali (Selangor) dan Razman Roslan (Pahang).

Malah Zainal Abidin sendiri pernah menjulang Piala Malaysia empat kali sebagai pemain manakala sebagai jurulatih dia melakukannya bersama Pahang pada 2014.

Ketika itu Zainal Abidin menunjukkan magisnya apabila memacu Pahang yang bermain 10 pemain untuk muncul juara dengan menewaskan Johor Darul Takzim menerusi tendangan penalti.

Sementara itu, Perak FC pula meletakkan sasaran berani untuk melangkah ke suku akhir di sebalik berada satu kumpulan dengan Selangor FC dan Terengganu FC.

Ketua jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil berkata beliau menyenaraikan lapan pemain daripada skuad muda menjelang saingan kali ini dan yakin kudrat mereka dapat memacu pasukannya mencapai sasaran ditetapkan.

“Kebelakangan ini, saya dapat lihat prestasi mereka mula meningkat dan saya berharap mereka dapat mengekalkan konsistensi mereka dalam saingan Piala Malaysia.

“Saya juga berharap kesemua pemain dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk mencabar pasukan-pasukan lain dalam Piala Malaysia.

“Bagi saya, ini merupakan satu cabaran dan saya juga telah memberikan taklimat kepada pemain supaya fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk kami mencuba mendapatkan satu slot ke suku akhir,” katanya.

Perak FC merupakan antara pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia di mana mereka pernah muncul juara lapan kali dan bergelar naib juara 11 kali. Kali terakhir the bos gaurus bergelar juara adalah pada 2018.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.