“Cuaca, padang buruk dan sebagainya bukan di dalam kawalan kita”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora tidak mahu menyalahkan pemainnya selepas memberikan tiga sepakan penalti dalam kekalahan besar 1-4 kepada Pohang Steelers dalam aksi ketiga Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia pada Isnin.

Ia adalah kekalahan kedua JDT setelah terdahulu tewas kepada Nagoya Grampus dalam aksi sulung pada 22 Jun lalu, menyaksikan skuad Harimau Selatan ketika ini menghuni tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata.

Menurut Benjamin Mora, pemainnya telah memberikan komitmen terbaik untuk menyaingi kelab Korea Selatan itu namun beberapa faktor lain menyebabkan mereka akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan.

“Ada banyak perkara di dalam bolasepak kita tidak boleh kawal. Kita tidak boleh kawal cuaca, padang yang buruk, layangan kad seawal minit ketiga kepada pemain pertahanan saya (Shane Lowry) dan sebagainya.

“Kami cuba mengimbangi permainan rentak perlahan Pohang Steelers kerana mereka menggerakkan bola terlalu perlahan, menunggu saat tiba. Kami telah melaksanakan tugas dengan sangat baik, tetapi malangnya mereka diberikan dua sepakan penalti.

“Kami tidak dapat untuk kembali ke dalam permainan walaupun menguasai bola di sebahagian besar separuh masa kedua. Kami mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi tidak menyudahkannya. Tetapi pada saya perkara paling penting adalah usaha ditunjukkan pemain.

“Saya perlu memantau keadaan pemain selepas ini kerana kita telah mengharungi tiga perlawanan yang memenatkan. Mereka keletihan dan kita akan fokus pada sesi pemulihan sebelum aksi seterusnya,” kata Benjamin Mora.

Pada perlawanan di Stadium Rajamangala itu, JDT terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Leandro Velazquez pada minit ke-17 setelah sepakannya membias terkena pertahanan Pohang Steelers, Kwon Wan-kyu dan menerjah jaring.

Pohang Steelers bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Boris Tashchy pada minit ke-27 selepas Velazquez didakwa mengasari Goh Young-Jun dalam kotak penalti.

JDT dirundung malang apabila Pohang Steelers sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-35 selepas Mauricio melakukan terjahan terhadap Mario Kvesic.

Pada mulanya, sepakan penalti yang diambil kapten, Kang Sang-woo dinafikan Farizal Marlias tetapi penjaga gol JDT itu dipersalahkan kerana terlebih dulu keluar sebelum wisel ditiupkan.

Sang-woo yang kembali mengambil sepakan penalti itu tidak mensia-sia peluang kedua bagi meletakkan Pohang Steelers mendahului 2-1.

Pasukan bimbingan Kim gi-Dong mengukuhkan kelebihan apabila Kwon Gi-pyo mudah menolak bola hantaran Go Young-jun yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-82 sebelum Lim Sang-Hyeob melengkapkan kemenangan 4-1 setelah menyempurnakan satu lagi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.