Cuba pemain lain, atau terus beri kepercayaan kepada Irfan Zakaria?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Siapakah gandingan terbaik untuk Aidil Zafuan Abd Radzak di jantung pertahanan Harimau Malaya, mungkinkah Irfan Zakaria akan terus diberi peluang oleh Tan Cheng Hoe selepas teruk dikecam ketika pertembungan dengan Bahrain?

Dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain, Aidil Zafuan dan Irfan Zakaria merupakan gandingan di dalam kesebelasan utama, sekaligus memberi bayangan bahawa inilah kombinasi bakal dipertaruhkan di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun nanti.

Irfan Zakaria yang bermain untuk Kuala Lumpur City musim ini menjadi sasaran kritikan penyokong selepas kekalahan kepada Bahrain, susulan kesilapan ‘kurang bijak’ menghadiahkan sepakan penalti dengan memeluk, menarik dan menjatuhkan Mahdi Abduljabbar.

Dia dikeluarkan pada permulaan separuh masa kedua dan digantikan oleh Junior Eldstal yang melaksanakan tugas dengan cukup baik namun dilihat sedikit ‘berat’ dalam aspek kepantasan.

Bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan berpendapat aksi menentang Bahrain sudah memperlihatkan peningkatan namun berharap barisan kejurulatihan dapat menggandingkan Aidil Zafuan dengan pemain lain di pertahanan.

“Cuma kena kurangkan kesilapan individu kerana selain daripada itu, kita main dan ada pergerakan yang baik. Apapun, lawan Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti, pemain kena ‘up’ lagi persembahan kerana tahap UAE ini jauh berbeza dari Kuwait ataupun Bahrain.

“Pada pandangan saya, pemain terbaik untuk aksi lawan Bahrain adalah Matt Davies. Dia banyak membantu serangan dan memberikan bola yang baik. Cuma barisan kejurulatihan perlu cari gandingan terbaik untuk Aidil Zafuan,” kata Sathianathan.

Selain Irfan Zakaria dan Junior Eldstal, Tan Cheng Hoe masih ada kelibat Adam Nor Azlin dan Dominic Tan sebagai pilihan di posisi pertahanan tengah.

Posisi pertahanan menjadi antara posisi kritikal Harimau Malaya susulan kecederaan dialami tonggak pertahanan Shahrul Saad. Dalam lima aksi pusingan kelayakan yang terdahulu, Shahrul Saad telah berganding cemerlang bersama Adam Nor Azlin (dua perlawanan) dan Aidil Zafuan (tiga perlawanan).

Mengambil kira Adam Nor Azlin pernah bermain dua perlawanan pertama pusingan kelayakan sebelum ini menentang Indonesia dan UAE, dia mungkin boleh menjadi pilihan terbaik untuk dipertaruhkan.

Tan Cheng Hoe mempunyai masa lima hari sebelum perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu untuk menguji gandingan berbeza yang lebih ideal, atau mungkinkah Irfan Zakaria akan terus diberi kepercayaan untuk ‘menebus’ kesilapan lalu?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.