Curran Singh mahu hukuman berat dikenakan ke atas Melaka United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas Narrupon Wild, giliran seorang lagi bekas pemain Melaka United, Curran Singh Ferns bersuara mengenai arahan pembayaran tunggakan gaji yang tidak dipatuhi kelab itu.

Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 13 Januari lalu telah membuat keputusan menerima tuntutan difailkan Curran Singh ke atas Melaka United dan mengarahkan mereka membayar RM97,500 kepada pemain itu.

Tetapi pemain berusia 27 tahun itu memberitahu sehingga kini bayaran itu belum diselesaikan dan berharap mereka akan berbuat demikian sebelum tarikh akhir 17 Februari depan atau dijatuhkan hukuman berat.

Baca : Curran Singh calls for Melaka to be punished if they fail to pay him

Baca : Gagal lunas tunggakan seperti diarahkan, Melaka United berdepan hukuman FIFA

“Jika mereka masih gagal untuk selesaikan sebelum tarikh tersebut, hukuman paling wajar adalah menarik balik lesen kelab dan menyingkirkan mereka dari Liga Super,” ujar pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu.

Curran Singh memulakan karier professionalnya di Australia bersama Brisbane City pada 2015 dan berhijrah ke Liga Malaysia tahun berikutnya dengan JDT II, Negeri Sembilan dan Felda United adalah pasukan yang pernah diwakilinya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri mengesahkan pasukan itu telah menerima arahan sekatan perpindahan (pertengahan musim) dari FIFA susulan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji Narrupon Wild. Ini menjadikan mereka pasukan Liga Malaysia pertama dikenakan hukuman sekatan perpindahan bagi tahun 2021.

Mereka gagal membayar pemain dari Thailand itu RM241,726.69 dalam tempoh 45 hari sepertimana diarahkan FIFA pada 11 November lalu.

“Kita sedar perkara itu dan akan cuba menyelesaikannya (tuntutan Narrupon), walaupun tarikh akhir telah berlalu kita akan cuba mencari dana dan selesaikan secepat mungkin. Begitu juga dengan tuntutan Curran Singh.

“Bukan kita tidak mahu bayar, tetapi bajet pasukan bagi tahun ini telah dipotong 50 peratus, kita mencari penaja dan mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk tampil bekerjasama,” kata Datuk Saiful.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Melaka United berdepan situasi memalukan seperti ini, pada musim lalu mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji kira-kira RM1.4 juta kepada bekas pemain dan pegawai pasukan musim 2019.

Bagi musim 2020, di sebalik kekangan kewangan dihadapi mereka rancak berbelanja membawa masuk pemain-pemain seperti Romel Morales, Syamim Yahya, Ferris Danial Mat Nasir, Nurridzuan Abu Hassan selain mengekalkan pemain tonggak seperti Razman Roslan, Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.