“Dah jadi tabiat pulak buat kesilapan bodoh setiap perlawanan,” – Zainal Abidin Hassan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kemarahan pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan memuncak selepas menyaksikan pasukannya tewas lagi, kali ini di tangan Sabah FC.

Ia kekalahan kedua berturut-turut Melaka United setelah tewas kepada Kedah Darul Aman minggu lalu, dan yang kelima dalam saingan Liga Super 2021, menyaksikan mereka kini tergelincir jatuh ke tangga kesepuluh, hanya satu mata di atas Sri Pahang FC.

“Amat kecewalah terutama pada 10 minit yang pertama, lalai dan membuat kesilapan bodoh sehingga Sabah mendapat dua gol, bukan mudah untuk kita cuba bangkit semula, lebih-lebih lagi bermain di sini (Likas), kena pulak pemain Sabah kelihatan cukup bersemangat di laman sendiri.

“Saya mahu mereka mempelajari kesilapan ini dan tidak mengulanginya pada aksi-aksi akan datang, ia seperti sudah menjadi satu tabiat, membuat kesilapan bodoh di awal permainan, ia menjadi satu masalah besar buat kami.

“Saya harap pemain memberikan titik noktah kepada kesilapan-kesilapan mudah ini, mereka harus faham ini tidak sepatutnya berlaku, pasukan lain sudah semakin maju tetapi kita pula semakin ke belakang, semoga ini  memberikan kita pengajaran,” ujar Zainal Abidin Hassan selepas perlawanan.

Berita berkaitan : Amri Yahyah bikin ramai terkesima dengan gol voli akrobatik pada usia 40 tahun

Kekalahan terbaru ini sudah tentunya semakin menambah tekanan ke atas Zainal Abidin Hassan, apatah lagi pihak pengurusan sebelum ini berkata kedudukannya akan dinilai selepas dua perlawanan menentang Sabah dan PJ City.

Pada perlawanan itu, Sabah mendahului 1-0 menerusi jaringan penyerang veteran Amri Yahyah yang menanduk masuk hantaran sepakan sudut rendah rakan sepasukan pada minit ke-6.

Azzizan Nordin menjadikan kedudukan 2-0 setelah melepasi kawalan pertahanan dan merembat menewaskan Norazlan Razali pada minit ke-16.

Amri Yahyah kemudiannya mengukuhkan kedudukan 3-0 menerusi sepakan voli akrobatik pada minit ke-48 sebelum Fakhrullah Rosli mengurangkan defisit pada minit ke-65, namun Sabah FC utuh bertahan untuk melakar kemenangan keempat musim ini.

Tiga mata yang diraih skuad Kurniawan Dwi Yulianto menyaksikan mereka kini berada di tangga ketujuh dengan 16 mata.

Kredit foto : NSTP

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.