Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim berkata jurulatih perlu lebih berani memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk membuktikan kemampuan berbanding terus mempertaruhkan wajah lama yang tidak membawa sebarang impak walaupun sudah banyak kali diberi peluang.
Menurut Lim Teong Kim, jika dia menjadi jurulatih kebangsaan sudah tiada ruang untuk beberapa pemain yang tidak pernah menunjukkan peningkatan prestasi termasuklah pemain seperti Mohamadou Sumareh.
“Sebagai contoh kita lihat perlawanan Malaysia baru-baru ini yang mana (Mohamadou) Sumareh masuk. Dia sudah main berapa tahun untuk negara tapi main macam tu saja. Kalau saya jurulatih, lebih baik saya masukkan pemain muda untuk main kerana mereka memang perlukan perlawanan seperti ini,” kata Lim Teong Kim dipetik dari portal Harimau Malaya.
Ketika aksi antarabangsa pada minggu lalu, Kim Pan-gon membawa beberapa pemain muda berusia bawah 23 tahun seperti Akhyar Rashid, Luqman Hakim, Arif Aiman, Ramadhan Saifullah dan Quentin Cheng tetapi hanya Akhyar yang mendapat tempat di dalam kesebelasan utama dalam kedua-dua perlawanan.
Dalam pada itu, Lim Teong Kim turut menyelar Persatuan Bolasepak Malaysia kerana tidak mengatur sebarang perlawanan persahabatan untuk skuad B-23 ketika minggu antarabangsa baru-baru ini sedangkan pasukan itu ada beberapa assisngment penting tahun ini termasuk Sukan Sea dan Piala Asia B-23.
“Saya pun tanya diri sendiri kenapa pasukan B-23 negara tidak buat perlawanan persahabatan sedangkan pasukan B-23 negara lain mengambil kesempatan untuk perkuatkan skuad dengan mengadakan siri perlawanan persahabatan.
“Dalam skuad senior cuma ada 2 orang sahaja pemain B-23 iaitu Arif Aiman dan Luqman Hakim, jadi rasanya tidak boleh dijadikan sebab kerana kedua-dua mereka tiada, skuad B-23 tak perlu buat perlawanan persahabatan.
“Inilah masa untuk jurulatih B-23 beri peluang kepada pemain lain untuk turun beraksi tapi sebaliknya berlaku, apa yang boleh saya kata pihak berkenaan (FAM) tidak tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.