“Dah tahu susah nak menang, tapi tak jangka kalah besar” – Khairul Shahril

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekalahan kepada Johor Darul Takzim (JDT) sememangnya sudah diduga, tetapi tidak sangka akan tewas dengan jaringan besar.

Itu reaksi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed mengenai kekalahan 5-0 kepada pendahulu Liga Super itu pada Sabtu.

“Saya tahu ramai yang menjangkakan kita susah nak menang dengan JDT, cuma yang mengecewakan kerana kita kalah dalam angka yang agak besar, itu yang sebenarnya.

“Kita memang menjangkakan akan menghadapi masalah apabila bertemu dengan pasukan seperti JDT dan Terengganu, cuma bila seri dengan Kuala Lumpur tempoh hari itu di luar sasaran kerana kita jangka boleh menang.

“Jadi, harapannya untuk perlawanan seterusnya selepas ini akan memberikan keputusan yang baik untuk kita,” kata Khairul Shahril kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, pada Ahad.

Dalam aksi Stadium Sultan Ibrahim Larkin, jaringan hatrik Bergson da Silva dan dua gol Gonzalo Cabrera menghadiahkan Perak FC kekalahan kesembilan mereka musim ini.

Ia adalah kekalahan 5-0 kedua Perak FC dalam tempoh seminggu selepas tunduk kepada Terengganu FC dengan angka jaringan sama pada 24 Julai lalu.

Sementara itu, Khairul Shahril turut mengumumkan pelantikan Azman Noh sebagai Pengurus Besar Perak FC berkuatkuasa 1 Ogos 2021.

Menurutnya, Azman Noh akan mengambil alih tanggungjawab yang digalas Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini Rizal Ali Naizali, dalam masa sama akan menentukan apa perubahan yang perlu dilakukan untuk memulihkan prestasi Perak FC.

“Kita mengambil contoh JDT dan Negeri Sembilan, yang saya lihat mereka tiada CEO tetapi mereka ada pengurus besar untuk menguruskan pasukan.

“Dia (Azman) akan membantu untuk menjalankan tanggungjawab sepertimana CEO dahulu dibantu oleh pihak pengurusan Perak FC itu sendiri dalam menguruskan perjalanan kelab.

“Kita memang sentiasa mencari formula terbaik untuk Perak FC tetapi tidak jumpa lagi, saya akui kami masih gagal mencari penaja untuk menguruskan Perak FC,” katanya.

Sebagai rekod, Azman Noh sebelum ini dilantik sebagai Pengurus Perak FC II namun meletakkan jawatan pada 1 Jun lalu dan namanya turut didaftarkan oleh pasukan Manjung City FC sebagai pengurus dalam saingan Liga M3.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.