Dakwaan Indonesia Sudah Disiasat, AFF Tidak Kesan Sebarang Unsur Penipuan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) telah menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) supaya menyiasat perlawanan kontroversi di antara Vietnam dan Thailand dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan AFF B-19 pada 10 Julai lalu.

Menurut PSSI, perlawanan tersebut tiada semangat kesukanan terutama selepas 80 minit apabila kedua-dua pasukan dilihat enggan melakukan serangan untuk mencari jaringan lantas wujud keraguan bahawa Thailand dan Indonesia telah berpakat untuk menamatkan aksi tersebut dengan keputusan seri.

Keputusan seri itu menyaksikan Indonesia yang juga tuan rumah pertandingan, tersingkir awal walaupun pada satu ketika memiliki kelebihan besar untuk mara.    

Menjawab kepada dakwaan tersebut, AFF telah mendapatkan khidmat syarikat data sukan terkenal, Sportradar AG untuk mengeluarkan analisis hasil dapatan dari statistik perlawanan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur-unsur mengatur perlawanan.

Malah pihak AFF juga telah melantik penganalisis teknikal dari pihaknya sendiri untuk membuat kajian dari laporan oleh pihak komisioner dan semua pegawai yang mengadili perlawanan.

Selain itu, badan induk bola sepak rantau Asia Tenggara itu turut mendapatkan pandangan dan nasihat dari Jawatankuasa DIsiplin dan Undang-Undang Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).

Daripada semua maklum balas yang diterima, AFF membuat kesimpulan bahawa tiada sebarang pelanggaran peraturan termasuklah 12 minit terakhir perlawanan yang menjadi pertikaian.

AFF turut berterima kasih kepada PSSI kerana membangkitkan isu berkenaan kerana ia menjadi pelajaran yang baik untuk pihaknya belajar untuk menghadapi pendangan dari sudut berbeza.

Menurut laporan, PSSI telah pun menerima keputusan AFF tersebut dengan hati terbuka dan tiada sebarang rayuan akan diusulkan.

“Kami berterima kasih kepada AFF kerana membalas surat rasmi dari PSSI. Selepas menerima makluman rasmi dari pihak mereka, kami [PSSI] menerima keputusan tersebut,” ujar Pengarah Pasukan Kebangsaan Indonesia, Endri Erawan.

“Sebenarnya tujuan surat tersebut adalah untuk mendapatkan kepastian sama ada perlawanan tersebut berlangsung dengan adil atau tidak. Sekarang semua sudah jelas dan tiada lagi masalah berbangkit.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.