Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakDalam kenangan : The unstoppable Mokhtar Dahari!

Dalam kenangan : The unstoppable Mokhtar Dahari!

Sebut sahaja nama Allahyarham Mokhtar Dahari, terkenang kembali kelibat lincah seorang wira, seorang tokoh bolasepak, seorang lagenda termahsyur di zaman kegemilangannya.

Mokhtar tiada galang ganti – teknik kawalan bola dan kepantasan larian yang memukau, kemahiran atau skill individu yang menakjubkan, penyerang dengan sentuhan pemusnah di depan gol, kekuatan sepakan yang cukup luar biasa, kelibat yang menghadirkan gerun pertahanan lawan, kebijaksanaan menghidu peluang – menjadikan beliau yanh digelar SuperMokh UNSTOPPABLE ketika zaman kemuncaknya.

Kehebatan SuperMokh, sememangnya bukan suatu yang asing di rantau Asia ketika itu, justeru tidak hairanlah pemain berasal dari Setapak ini pernah diiktiraf sebagai penyerang TERBAIK ASIA pada 1977, tahun yang sama menyaksikannya meraih Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

Malah baru-baru ini badan induk bolasepak dunia, FIFA, mengiktiraf SuperMokh sebagai penjaring gol ketiga terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa di belakang Cristiano Ronaldo dan Ali Daei, dengan 89 gol.

FIFA Mokhtar Dahari Dalam kenangan : The unstoppable Mokhtar Dahari!Mokhtar adalah role model, contoh pemain yang wajar dijadikan teladan di atas komitmen, kesungguhan dan aspirasinya.

Bolasepak sudah sebati drngannya, mengalir sebagai darah di dalam dirinya, semangatnya cukup luar biasa, patriotismenya jangan sesekali dipertikai – SuperMokh adalah jenis pemain yang sanggup berkorban apa sahaja untuk mengangkat nama Malaysia berdiri sama tinggi dengan jagoan bolasepak dunia ketika itu.

Antara detik yang pastinya masih segar dalam memori, dua gol jaringan SuperMokh ketika Malaysia menundukkan gergasi England, Arsenal, 2-0, serta gol menakjubkannya ketika mengikat skuad England B bimbingan Bobby Robson, 1-1.

Bekas jurulatih SuperMokh, Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat, antara individu memainkan peranan besar membentuk beliau muncul penyerang terbilang Asia, pernah memberitahu penulis kelebihan yang ada pada SuperMokh suatu yang cukup istimewa yang tiada pada pemain lain.

“Mokh cukup istimewa, dialah kapten, seorang pemimpin pasukan yang dihormati, semua mengagumi dia, kalau dia sepak bola, awak jangan sesekali nak tahan bola tu, kekuatan kuasa kuda, kalau defend boleh patah kaki, kalau keeper boleh patah tangan, Arumugam (bekas penjaga gol negara) pernah patah jari masa nak save bola dia.

“Dia pemain yang cukup berdisiplin, tak pernah ingkar arahan saya, kesungguhan dia takkan boleh kita lihat pada orang lain. saya yakin belum ada, dan takkan ada pemain sebaik dia selepas ini, dia tiada ganti.” – Allahyarham Tan Sri Datuk Ghani Minhat, Bekas Jurulatih SuperMokh.

“Saya ni masa dia main, sekolah lagi. Memang kagum dan bangga lah dengan pemain seperti SuperMokh, idola ramai ketika itu, apabila saya dapat peluang main bersama dia dalam satu pasukan (Talasco) memang gembira sangat lah main dengan idola kita kan, saya follow dia sejak awal dia main, seorang yg cukup gigih, cukup fokus.

“Awak boleh cakap apa saja pasal dia, tapi jangan sesekali kutuk pasal Selangor, Malaysia, dia cukup pantang. Saya dengan dia beza 10 tahun, dia banyak mengajar saya, bukan sahaja bolasepak tapi juga erti hidup. Dia tak layan saya seperti kawan atau sekadar rakan sepasukan, tetapi sebagai abang-adik. Banyak memberi saya nasihat.” – Zolkifli Ahmad, bekas rakan sepasukan.

“Semangat SuperMokh cukup luar biasa, apabila kita main, dia mesti mahu menang, kalau kalah, takkan bercakap dengan orang, makan pun tidak, tak percaya awak tanya wife dia, dia akan memberontak hingga dia tahu punca kekalahan dan kemudian bangkit pada next game, he’s really passionate, patriotism dia cukup tinggi, sayang dia tinggalkan kita pada usia cukup muda.” – Datuk Santokh Singh.

Sumber : Takkan ada seorang lagi Mokhtar Dahari – SuaraSukan

Menyingkap kegemilangan SuperMokh, beliau adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Selangor (177 gol) dan juga Malaysia (125 gol, 89 diiktiraf FIFA) dengan 167 penampilan antarabangsa – rekod yang pastinya sukar ditandingi mana-mana pemain.

Beliau memulakan karier bersama pasukan Selangor, pada 1971 di Kejohanan Piala Burnley (kemudian dikenali Piala Razak), menentang Kedah dan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut, sebelum dipanggil Jalil Che Din mewakili negara pada Kejohanan Pestabola Merdeka 1972, yang menjadi platform buatnya mempamer kehebatan.

Selepas mengumumkan persaraan pada 1979, SuperMokh kembali ke arena bolasepak antarabangsa untuk meraih kap ke-100 antarabangsa ketika Malaysia menentang Jepun di Pestabola Merdeka 1980, dan kemudiannya mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors diketuai lagenda Bolasepak Dunia, Diego Maradona (1982).

Mokhtar Dahari Maradona Dalam kenangan : The unstoppable Mokhtar Dahari!

14 tahun bergelar pemain kebangsaan, kejayaan dicapai SuperMokh bukan satu atau dua, dan yang paling diingati pastinya kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Asia 1974, Emas Sukan Sea 1977, 1979 dan Pingat Perak Sukan Sea 1981.

Manakala bersama Selangor, SuperMokh antara tulang belakang yang membantu Selangor muncul kuasa bolasepak tanah air ketika itu dan pernah menjulang Piala Malaysia 10 kali.

Selepas membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 1986, dan menghadiahkan jersi nombor 10 miliknya kepada Raja Muda Selangor ketika itu, SuperMokh mengumumkan persaraan buat kali kedua, namun sekali lagi kembali berbakti kepada Selangor setahun kemudian sebelum membantu Kwong Yik Bank menjuarai Liga Selangor pada 1988.

Tanggal 11 Julai 1991, iaitu genap 30 tahun daripada tarikh hari ini, Mokhtar menghembuskan nafas terakhirnya, setelah menderita akibat penyakit MUSCULAR DYSTROPHY – satu kehilangan besar bukan sahaja kepada peminat bolasepak, tetapi Malaysia khususnya kehilangan seorang rakyat, perwira yang sanggup berkorban apa saja untuk tanah air tercinta.

Sesungguhnya, SuperMokh tiada ganti, takkan ada seorang lagi Mokhtar Dahari. Al-Fatihah, moga rohnya dicucuri rahmat.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.