Daniel Wafiuddin Cabar Diri Rampas Posisi No.1 Di Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik kekalahan Sri Pahang kepada KL City pada minggu lalu, ada seorang pemain yang berjaya mencuri tumpuan, Daniel Wafiuddin yang diturunkan buat pertama kali pada musim ini.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi pada separuh masa pertama, sebelum akur melepaskan dua gol di separuh masa kedua kepada Romel Morales dan Zhafri Yahya.

Mengakui ia pengalaman baru yang cukup mendebarkan, Daniel Wafiuddin berjanji tampil dengan prestasi lebih baik jika diberi peluang sekali lagi.

“Syukur penantian untuk membuat penampilan dalam kesebelasan utama menjadi kenyataan, lebih manis ini aksi pertama saya di Liga Super sepanjang karier saya.

“Sebelum ini saya pernah bersama Pahang dari 2016-2018 tetapi sebagai penjaga gol ketiga dan tak dapat beraksi.

“Memang agak berdebar tetapi saya gembira dapat beraksi dengan baik, cuma saya minta maaf tidak dapat membantu pasukan menang dalam penampilan sulung.

“Saya berharap akan terus mendapat peluang untuk membuktikan kebolehan tetapi saya tahu saya kena bekerja keras, bukan mudah kerana di atas saya ada dua penjaga gol yang berpengalaman dan berkualiti,” ujar Daniel Wafiuddin yang merupakan penjaga gol ketiga pasukan di belakang Helmi Eliza dan Zarif Irfan.

Pemain berasal dari Rompin ini juga tidak berselindung di dalam mengatakan dia mencabar dirinya untuk menjadi penjaga gol utama Sri Pahang dalam tempoh terdekat ini.

“Saya percaya kepada proses, ketika ini saya berusia 24 tahun, sasaran saya mungkin pada usia 25 atau 26 dapat menjadi penjaga gol utama pasukan dan selepas itu cuba memenangi tempat dalam skuad kebangsaan.

“Itu impian saya dan untuk itu saya perlu memburu lebih banyak minit permainan,” katanya.

Sebagai rekod, Daniel pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Pahang pada 2015 dan diserap ke skuad senior setahun kemudian, sebelum berhijrah ke UKM FC pada 2019.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.