Dapatkah K.Devan kejar kejuaraan Liga Super keempat sebaik liga bersambung?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

K.Devan diketahui sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya di pentas Liga Super.

Ketua jurulatih PJ City FC itu pernah menjulang trofi Liga Super tiga kali – sekali bersama Negeri Sembilan dan dua kali bersama Selangor.

Kini, MFL telah mengumumkan Liga Super 2020 akan kembali bersambung bulan depan, peluang tersedia buat Devan untuk menambah koleksi kejuaraan.

Untuk mengatakan PJ City berpotensi muncul juara mungkin keterlaluan, apatah lagi Devan sendiri sekadar mensasarkan kedudukan lima teratas untuk pasukannya pada awal musim.

Namun dengan saingan bersambung selepas lebih lima bulan, serta secara secara separuh liga, apa jua kemungkinan boleh berlaku. Elemen kejutan tidak boleh diketepikan.

Dengan beza mata yang tidak jauh antara setiap pasukan, tiada pasukan boleh dilabel mempunyai kelebihan mutlak.

Ketika liga ditangguhkan, PJ City berada di tangga kesepuluh dengan 4 mata namun mereka bermain kurang satu perlawanan setelah aksi menentang Terengganu FC ditangguhkan, dan ia akan dilangsungkan pada 22 Ogos depan sebagai aksi pertama bersambungnya liga.

Dapatkah PJ City melakukan sesuatu yang luar biasa dalam lapan perlawanan berbaki dan mengangkat nama Devan sebagai jurulatih paling berjaya di Liga Super?

PJ CITY AKAN BERSEDIA SEPENUHNYA

Sementara itu, mendengar pasukannya akan turun bermain lebih awal berbanding pasukan lain yang akan turun pada 26 Ogos untuk aksi pertama selepas liga bersambung, Devan yakin mereka akan bersedia sepenuhnya.

Dengan perlawanan persahabatan juga hanya dibenar diadakan pada 2 Ogos, Devan berpendapat ia adalah satu tempoh mencukupi untuk membuat persiapan rapi sebelum menentang skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

PJ City FC training Dapatkah K.Devan kejar kejuaraan Liga Super keempat sebaik liga bersambung?

“Pastinya kami sudah mengambil kira faktor ini daripada awal untuk melakukan persiapan terbaik daripada awal di mana pasukan semestinya harus bersedia daripada pelbagai aspek untuk menghadapi perlawanan pertama selepas lebih lima bulan Liga Malaysia ditangguhkan.

“Daripada tahap kecergasan pemain, mereka berada dalam keadaan yang memuaskan dan tiada sebarang kecederaan serius yang melanda pemain saya.

“Cuma, hanya kesakitan di bahagian otot sahaja yang kadang-kadang dirasai oleh segelintir pemain kerana lama sangat mereka tidak berlatih sebegini, apatah lagi dengan corak latihan agak berbeza yang saya terapkan kali ini, tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan”, jelasnya.

Dua hari selepas melakukan sesi latihan secara “body contact”, Devan menyifatkan pemain-pemainnya tidak berdepan masalah untuk segera mendapatkan momentum perlawanan di atas padang apabila beliau menerapkan latihan secara simulasi perlawanan antara mereka.

Tambahnya, inilah saat-saat yang dinantikan oleh pasukan untuk beraksi sesama sendiri di atas padang apabila latihan yang dilakukan sebelum ini hanyalah secara individu sahaja dan belum cukup untuk menguji tahap kecergasan setiap pemain.

“Saya tengok setakat ini corak permainan dan latihan yang kita sudah amalkan selepas mendapat lampu hijau berlatih secara “body contact” cukup menarik minat pemain dan mereka juga begitu menikmati latihan yang diadakan ini.

“Bahkan, mereka dapat bersaing sesama sendiri atas padang, bukan seperti sebelum ini apabila latihan hanya bersifat individu sahaja dan saya kena asingkan kepada kumpulan kerana mereka tidak dibenarkan untuk bersentuhan”, katanya.

Selain perlawanan tertunda antara PJ City FC dan Terengganu FC, perlawanan Liga Premier membabitkan pasukan UKM FC dan Kelantan turut sama akan dimainkan pada 22 Ogos 2020.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.