Dapatkah Luqman Hakim ketepikan Norshahrul dan Syafiq Ahmad?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Status sebagai ‘orang lama’ nampaknya bukan jaminan buat Norshahrul Idlan Talaha mahupun Syafiq Ahmad meraih kelebihan untuk memenangi tempat di dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Tidak dinafikan Norshahrul Idlan Talaha telah menjadi antara pemain penting Harimau Malaya sejak sedekad yang lalu, walaupun dalam beberapa tahun kebelakangan lebih banyak bertindak sebagai ‘backup’ di posisi sayap yang menjadi milik Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Manakala Syafiq Ahmad pula menggenggam status sebagai penyerang utama skuad kebangsaan ketika ini.

Bagaimanapun dengan Norshahrul kini berusia 35 tahun dan beraksi dengan kelab Liga Premier Sarawak United, manakala Syafiq Ahmad pula bukan lagi pemain yang sama seperti kita lihat pada 2019 berikutan kemeruduman prestasi (apatah lagi dia kini bermain di JDT II) – dua pemain itu perlu menggandakan kerja keras jika tidak mahu sekadar menjadi pelengkap di dalam skuad.

Selain mempunyai penyerang baru dalam kelibat Guilherme De Paula, Tan Cheng Hoe juga mempunyai senjata rahsia dalam kelibat pemain muda yang diterbangkan dari Belgium, Luqman Hakim Shamsuddin yang semakin menunjukkan peningkatan untuk menghadapi baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Satu-satunya kelebihan Norshahrul Idlan dan Syafiq Ahmad ketika ini adalah pengalaman, tetapi Luqman Hakim dilihat sudah bersedia mengetepikan dua pemain senior itu, seterusnya memenangi kap sulung bersama Harimau Malaya.

“Saya sudah 100 peratus bersedia untuk meraih kap sulung bersama pasukan kebangsaan. Saya akan buat yang terbaik di sesi latihan dan serahkan kepada jurulatih untuk menilai.

“Saya percaya telah banyak belajar di Belgium, dan berharap dapat manfaatkan serta terus meningkat apabila menyertai kem kebangsaan nanti,” kata Luqman Hakim yang akan menyertai rakan sepasukan lain pada 20 Mei di Dubai.

Setakat ini belum ada gambaran siapakah akan menerajui jentera serangan walaupun di atas kertas Guilherme De Paula dilihat pilihan utama.

Sebagai rekod, Tan Cheng Hoe mengumpulkan pemain-pemain untuk latihan pusat di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula Ahad (16 Mei) sebagai persiapan untuk baki tiga aksi kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu, Thailand dan Vietnam pada bulan Jun.

Skuad Harimau Malaya ketika ini di kedudukan kedua Kumpulan G di belakang Vietnam.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.