“Dari awal saya tahu bukan senang nak ubah nasib Sri Pahang,” tegas Dollah Salleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sejak dari awal mengambil alih pasukan lagi, Dollah Salleh sudah tahu memang bukan mudah untuk dia merubah nasib dan takdir Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengendali berpengalaman luas itu menggantikan Thomas Dooley yang gagal memastikan kemenangan dalam dua perlawanan pertama, dan selepas lapan perlawanan di bawah bimbingannya tiada apa yang berubah di kem Sri Pahang.

Satu kemenangan, dua seri dan enam lagi kekalahan menyusul, terbaru dibelasah Penang FC 0-3 yang juga kekalahan ketiga berturut-turut mereka lantas meletakkan pasukan kekal di kedudukan kedua tercorot.

Bagi Dollah Salleh, dia sudah menjangkakan situasi buruk ini akan berlaku, di mana ketika ini Sri Pahang sedang mengharungi prestasi terburuk dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Super di mana mereka menduduki tangga kedua tercorot selepas mengharungi 10 perlawanan.

“Sebenarnya saya ambil pasukan ini dalam tekanan kerana sebagai pengurus pasukan ketika itu, saya sudah tahu situasi yang bakal dihadapi pasukan.

“Tetapi saya mengambil tanggungjawab ini selepas diarah YAM Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (pemilik Sri Pahang FC). Saya sahut cabaran dan sanggup terima hakikat dengan prestasi yang dipersembahkan pasukan.

“Saya harap pada jendela perpindahan pemain nanti, akan ada perubahan dalam pasukan untuk mengembalikan prestasi pasukan pada tahap lebih baik.

“Perubahan besar dalam pasukan kemungkinan tidak berlaku tetapi perancangannya sudah ada,” kata Dollah Salleh selepas perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya.

Pada perlawanan itu, Dollah Salleh membuat keputusan berani menurunkan hanya seorang import iaitu Lee Tuck dan mempertaruhkan gandingan tempatan Malik Mat Ariff dan Nur Izzat Che Awang untuk mengepalai barisan serangan, manakala pertahanan import Herold Goulon dimasukkan pada separuh masa kedua.

Namun kebangkitan yang diharapkan selepas kecundang kepada KL City dan Johor Darul Takzim, tidak menjadi kenyataan, namun Dollah Salleh tidak merasakan dia telah tersilap membuat percaturan.

“Kita bermula dengan pemain-pemain muda dan tempatan kecuali Lee Tuck. Bahagian pertahanan pada 20 minit awal agak kucar-kacir dan nampak longgar khasnya di sebelah kanan dan Penang telah mengambil kesempatan itu.

“Walaupun Goulon masih cedera, saya terpaksa menyenaraikannya dan kehadirannya dalam pasukan berjaya untuk mengukuhkan kembali jentera pasukan.

“Pada babak kedua, pasukan mula mendapat rentak permainan tetapi ketumpulan jentera serangan menyebabkan tiada jaringan dapat dihasilkan,” kata Dollah Salleh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.