PKP ubah takdir bekas pemain kebangsaan, bergelar ‘tauke sambal poyok’ pada usia 33 tahun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sebesar-besar kejayaan bermula dengan sekecil-kecil usaha, ungkapan itu mungkin justifikasi tepat untuk ditujukan kepada bekas pemain skuad Liga Super Pahang dan juga bekas pemain futsal kebangsaan Akhmall Abdullah.

Pada ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menjejaskan sektor sukan dengan teruk dan memberi impak negatif kepada ekonomi sehingga ada ramai yang kehilangan punca pendapatan, Akhmall atau lebih mesra disapa sebagai Weager pula memanfaatkan tempoh itu untuk ‘mencipta’ lubuk rezeki.

Dalam tempoh empat bulan, siapa sangka dia telah bergelar usahawan apabila membuka perniagaan sendiri, Marohhh Food Industries, premis pengilangan dan pembungkusan makanan berasaskan sambal tempoyak. Jangan terkejut, usianya baru 33 tahun, mungkin inilah dikatakan ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Akhmall pada tahun ini merupakan penolong jurulatih kepada pasukan Pahang Rangers yang bermain di Malaysian Premier Futsal League (MPFL) – pasukan sama yang diwakilinya selama dua musim dari 2017 – 2019 sebelum menggantung but.

Pasukan bimbingan Gerard Casas yang dibarisi himpunan pemain kebangsaan itu bermula dengan cukup baik dalam kempen MPFL 2021 apabila membelasah Sarawak 9-1 dalam aksi sulung pada 14 Mac.

Tetapi baru sahaja berlangsung satu perlawanan, pelaksanaan PKP empat hari kemudian disebabkan peningkatan kes Covid-19 menyebabkan saingan ditangguhkan sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan membatalkan terus pertandingan pada 1 Jun lalu.

Futsal tidak seperti bolasepak, jika bolasepak pemain-pemain masih dibayar gaji walaupun pertandingan ditangguhkan atau dibatalkan, berbeza dengan futsal.

Apabila pertandingan dibatalkan, kontrak mereka berpotensi untuk turut ditangguhkan atau dibatalkan kerana ia bukan kontrak sepenuh masa malah liga futsal kita juga belum professional.

Akhmall bagaimanapun bertuah kerana pengurusan Pahang Rangers tetap membayar gaji pemain dan pegawai sebanyak 40 peratus walaupun tiada lagi sebarang aktiviti dalam kalendar futsal untuk tahun ini.

Begitupun untuk bertahan dengan gaji sebanyak itu pastinya sukar, dan dari situlah dia mendapat ilham untuk menambah punca pendapatan.

“Saya ni apa pun saya jual, janji halal dan boleh buat duit. Masa awal PKP tempoh hari, saya jual ikan patin sangkar, buat COD tempoyak mentah. Kemudian timbul niat saja nak test market untuk buat sambal tempoyak petai, tak sangka pula permintaan begitu tinggi.

“Awal-awal jual sikit jer dulu, 10 botol seminggu, jalan dulu dengan petai seikat, tempoyak 50kg pun dah cukup bangga. Kemudian ambil order untuk 100 botol, 500 botol, selepas tiga minggu sudah 3,000 terjual dan genap 40 hari jualan, masa tu hampir 7,000 botol terjual. Tempahan masuk tak putus.

“Dari masak guna dapur yang isteri saya guna untuk goreng telur tu lah bermulanya operasi sambal ini. Dari botol takde baju (sticker) sampai ada baju, dari sudip nasi sampai ke pengayuh perahu, dari suka-suka sampai empat kali tukar kuali masak, nasib baik kuali isteri masak telur tak pecah,” katanya tergelak ketika ditemubual esklusif oleh Labola Malaya.

Akhmall Sambal Tempoyak Petaia PKP ubah takdir bekas pemain kebangsaan, bergelar 'tauke sambal poyok' pada usia 33 tahun

Isteri Weager, Nur Atika Aminuddin pula memberitahu, “Weager meletakkan usaha keras untuk kami sampai ke tahap ini, mungkin orang nampak senang, nampak untunglah dah ramai stokis, untungla dah ramai agen, tapi orang tak tahu perih jerih yang kami lalui.

“Macam Weager kata, kami bermula dari bawah, tiada siapa bantu, kami tidak dapatkan support sesiapa termasuk tenaga kerja semua kami buat sendiri. Petai kupas sendiri, masak sendiri, bungkus sendiri, ada hari Weager bangun jam 3 pagi untuk memasak. Alhamdulillah makin lama, makin ramai membantu, kini kami dah sampai satu tahap baru, cipta jenama sendiri. Doakan perniagaan ini akan bertambah maju.”

Akhmall dan isteri PKP ubah takdir bekas pemain kebangsaan, bergelar 'tauke sambal poyok' pada usia 33 tahun

Antara agen Sambal Tempoyak Marohhh termasuklah pemain futsal kebangsaan yang juga penjaring terbanyak Malaysia Premier Futsal League 2019, Fariq Muhd.

Akhmall berharap apa yang dikecapinya ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada ramai orang di luar sana tetapi dapat membuka mata bahawa PKP bukan alasan untuk ‘jatuh terduduk’.

“Daripada kita termenung merenung nasib atau masa depan, teroka peluang baru mengikut kebolehan kita. Setiap kita diberikan kelebihan sendiri, tetapi masalah utama adalah kita sentiasa fikir mengenai apa orang kata.

“Saya bekas pemain bola Liga Super dan pernah bermain dengan pasukan kebangsaan, saya ketika ini dalam pasukan futsal terbaik dalam negara, kini saya jadi tukang masak, saya juga boss. Jika saya fikir apa orang kata, saya menghalang diri saya untuk maju ke depan. Itu adalah mental block yang perlu kita singkirkan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Akhmall merupakan produk Piala Presiden Pahang 2006 dan dua tahun kemudian telah diserap ke skuad Liga Super dan Piala AFC Pahang kendalian Zainal Abidin Hassan.

Berada dalam sebuah pasukan yang dibarisi nama-nama seperti Hafiz Kamal, Azamuddin Akil, R.Surendran ternyata sukar untuk Akhmall memecah masuk ke dalam kesebelasan utama justeru demi mendapatkan lebih minit permainan, dia berhijrah ke pasukan Liga Premier Shahzan Muda pada 2009.

Kemudiannya dia dan beberapa rakan sepasukan beralih ke futsal pada tahun sama, mewakili pasukan futsal Pahang di Liga Futsal Kebangsaan.

Selain Pahang, Akhmall juga pernah bermain untuk PKNS FC serta menganggotai pasukan kebangsaan pada 2010 dan 2011. Dia menoktahkan karier sebagai pemain pada 2018, diberi peranan memakai lilitan lengan selaku kapten skuad Pahang Rangers yang bermain di Liga Futsal Kebangsaan buat kali pertama.

Akhmall Pahang Rangers PKP ubah takdir bekas pemain kebangsaan, bergelar 'tauke sambal poyok' pada usia 33 tahun

Bersama Pahang Rangers yang ketika itu dikenali Kuantan Rangers, Akhmall mencipta sejarah apabila menjadi kapten pertama untuk mengetuai pasukan dari Malaysia menjulang trofi liga di luar negara, apabila mengemudi pasukan itu menjuarai Liga Futsal Brunei 2017.

Selepas bersara, Akhmall diberi kepercayaan untuk menjadi jurulatih Akademi Pahang Rangers sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih.

“Saya mungkin telah membina reputasi baik dalam arena futsal, tetapi satu yang saya ralat sepanjang pembabitan saya kira-kira 10 tahun sebagai pemain futsal saya tidak pernah menjulang LFK dan saya berharap dapat menoktahkan penantian itu sebagai jurulatih.

“Kita sepatutnya boleh melakukannya dalam edisi sulung MPFL musim lalu, sayang terlepas kepada Selangor pada saat akhir. Tahun ini pasukan telah bertambah mantap dengan adanya dua lagi tonggak skuad kebangsaan (Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi) tapi pertandingan pula dibatalkan.

“Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah dan sudah tentu kita akan tampil sebagai sebuah pasukan lebih kuat pada musim depan,” ujarnya.

Foto : IG Akhmall Abdullah/Eykakimura

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.