Darren Lok buktikan pemain tempatan juga boleh menyerlah jika diberi peluang dan kepercayaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang PJ City FC, Darren Lok membuktikan penyerang tempatan juga boleh menyerlah sebaris pemain import jika diberi peluang dan kepercayaan.

Pemain itu sudah menjaringkan dua gol selepas dua perlawanan dan dia menyifatkan ia merupakan permulaan yang cukup baik untuk kembali membina nama selepas sekian lama bergelut dengan prestasi sendiri.

Darren Lok musim lalu beraksi bersama Terengganu FC tetapi gagal memacu prestasinya ke tahap terbaik apabila jarang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum kemudiannya dia dipinjamkan ke Terengganu FC II.

Pemain berusia 30 tahun itu adalah sandaran utama bahagian serangan PJ City kendalian P.Maniam yang tidak langsung menggunakan pemain import musim ini, dan dia ternyata berhasil membawa impak apabila meledak dua gol ketika menentang Melaka United Rabu lalu yang berkesudahan seri 2-2.

“Sememangnya ia permulaan yang sangat positif untuk diri saya kerana memang sudah lama tidak dapat momentum yang sempurna seperti ini.

“Sebelum ini saya agak kecewa kerana merasakan sudah terlewat untuk menjaringkan gol pada musim lalu tetapi sekarang bersyukur dengan apa yang saya ada bersama pasukan baharu.

“Cuma apa yang saya buat ketika ini bukan semata-mata untuk prestasi peribadi sahaja, tetapi sejauh mana saya dapat menyumbang kepada pasukan ini untuk berada di tahap terbaik musim ini,” jelasnya.

Selain Darren Lok, turut mencuri tumpuan adalah pemain tengah Melaka United FC, S. Kumaahran yang telah meledak dua gol dalam dua perlawanan pertama Liga Super 2021.

Dia yang beraksi di posisi bek kanan ketika bersama Sri Pahang FC musim lalu mengakui berasa lebih yakin untuk memburu lebih jaringan seterusnya menaikkan semula karier yang suram selepas mengalami kecederaan ACL pada Sukan Sea 2017.

“Musim lepas peluang untuk saya menjaringkan gol memang agak susah dan musim ini selepas berjaya melakukan dua gol untuk dua perlawanan, saya rasa lebih yakin untuk mendapatkan semula prestasi terbaik bagi musim 2021.

“Saya sudah lama tidak meledak gol sebenarnya dan mula-mula memang tidak sangka apabila berjaya melakukannya bersama pasukan ini kerana saya tahu selepas bergelut dengan kecederaan ACL, semuanya kelihatan begitu sukar untuk kembali bangkit.

“Apabila saya bersama pasukan JDT II (Johor Darul Ta’zim) pada 2018, saya fokus kepada proses pemulihan di sana dan ternyata semuanya berjalan dengan lancar sebelum akhirnya saya mendapat semula kekuatan untuk mula bermain,” katanya.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.