Darren Lok Kembali, Sandaran Robek Gawang JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

PJ City menyandarkan kepada kudrat Darren Lok untuk merobek gawang Johor Darul Takzim malam ini dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Penyerang kebangsaan itu tidak beraksi pada pertembungan dengan Penang FC di gelanggang lawan pada aksi 18 Jun lalu kerana penggantungan, yang menyaksikan barisan depan mereka sedikit tumpul.

Pengurus PJ City, K Rajendran berkata, Darren Lok bakal kembali berada di dalam kesebelasan utama skuad P.Maniam tatkala mereka sedang membuat persiapan rapi dan merangka strategi terbaik termasuk menyenaraikan barisan pemain terbaik setidak-tidaknya untuk mencuri satu mata dari tempat lawan.

“PJ City akan turun ke Johor Bahru dengan barisan terbaik dan semangat kental dalam misi mencuri mata meskipun berhadapan dengan pasukan JDT yang bertaraf kelab Asia.

“Penyerang utama pasukan, Darren disahkan cergas dan akan berada dalam kesebelasan utama dan dia dijangka bakal membentuk gandingan bersama pemain di bahagian serangan seperti Mahali Jasuli, Kogileswaran Raj, Kumaahran dan Khyril Muhymeen.

“Pemain juga sudah dinasihatkan perlunya mereka beraksi secara luar biasa dan memberikan komitmen lebih 100 peratus, bagi memastikan saingan dapat diberikan dengan baik terhadap JDT dan seterusnya mendapatkan keputusan positif,” katanya kepada Arena Metro.

PJ City yang menduduki tangga kesembilan carta Liga Super ketika ini sudah merekodkan tiga kekalahan dan tiga seri dengan mengumpul sembilan mata.

Mengulas lanjut, Rajendran mengakui barisan pemainnya akan mengharungi satu lagi perlawanan sukar mengambil kira prestasi semasa skuad bimbingan Benjamin Mora, yang setakat ini belum mengalami sebarang kekalahan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bukan mustahil kelab kecil seperti PJ City dapat mencipta kejutan ke atas JDT, jika mereka dapat menunjukkan satu persembahan mantap, dan ianya pernah berlaku sebelum ini.

“Saya anggap bukan sesuatu yang mustahil untuk pemain PJ City mencipta keputusan yang baik di Johor Bahru malam esok (Selasa) kerana sebelum ini kami pernah melakukannya.

“Walaupun itu adalah cerita lama dan situasi ketika ini sudah banyak berubah, namun pemain PJ City akan bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh permainan dan akan berusaha mencuri mata dari gelanggang lawan itu nanti.

“Saya berharap mereka dapat kekal fokus dan mengurangkan kesilapan selain memastikan setiap perancangan serta strategi disusun jurulatih dapat terjemahkan dengan baik,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.